comscore
Tumpuan :
Nasional

Isteri maut, suami parah nahas dua kenderaan

Foto ihsan JBPM

KUALA SELANGOR: Seorang wanita maut manakala suaminya parah selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam nahas berhampiran Taman Mulia, Assam Jawa, hari ini.

Mangsa, Nur Izzathy Ashikin Ibrahim, 32, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala suaminya, Tarmizzi Rumandud, 37, tersepit pada bahagian pemandu.

Dua lagi mangsa menaiki MPV Toyota Estima adalah dua beranak dikenali Mohd Saiful Shahrir Mohd Rosdi, 41 yang mengalami kecederaan ringan, manakala anak perempuannya berusia lima tahun tidak sedarkan diri.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.59 pagi.

Ujarnya sepasukan tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Menurut laporan awal, Proton Saga FLX dinaiki pasangan suami isteri itu dalam perjalanan dari Jeram ke Kuala Selangor dipercayai masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Toyota Estima.

“Anggota bertugas kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan peralatan khas dan memberi rawatan awal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa Nur Izzathy Ashikin bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Loading...
Terkini