comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Subsidi dikurangkan hanya untuk golongan maha kaya’ – PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pengurangan pemberian subsidi tidak menjejaskan semua lapisan masyarakat sebaliknya hanya membabitkan inisiatif kadar elektrik dan haji bagi golongan berpendapatan tinggi, (T20).

Sekaligus beliau membidas dakwaan Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mengenai pengurangan subsidi kepada rakyat menyebabkan mereka terbeban masa ini.

Anwar  yang mempersoalkan dakwaan Radzi itu berkata pengurangan subsidi hanya dibuat kepada golongan T20  dan bukannya kepada 90 peratus majoriti rakyat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, pendekatan itu terpaksa dibuat bagi mengurangkan bebanan ditanggung rakyat dalam golongan B40 dan M40.

“Saya kurang faham, mana kurangnya subsidi? Kita kurangkan (subsidi elektrik dan haji) bagi golongan kaya, bukan untuk rakyat tetapi hanya bagi golongan maha kaya.

“(Pemberian subsidi) tidak dikurangkan bagi majoriti rakyat dan 90 peratus tidak terkesan. Malah, kadar elektrik bagi industri sederhana kecil (IKS) dan makanan tidak dinaikkan.

“Kenapa nak politikkan isu ini? Kita nak jadi jaguh siapa?” katanya ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri turut mempersoal kewajaran subsidi haji diberi kepada golongan T20, sedangkan mereka mampu melakukannya pada kadar kos ditetapkan Lembaga Tabung Haji (TH).

Beliau menyatakan komitmen untuk melaksanakan pendekatan berkenaan walaupun menerima rungutan daripada golongan T20 berhubung pengurangan subsidi haji.

“Kamu (golongan T20) sudah kaya benor (sangat), takkan TH nak beri subsidi untuk pergi ke Makkah?

“Saya terpaksa ambil daripada orang kaya supaya tidak bebankan golongan miskin. Itu pun kadar agak minimal, kalau haji TH tak dibenarkan ambil untung, cuma ambil kira kos haji,” katanya.

Pada 22 Mei lalu, Anwar berkata kerajaan tidak lagi akan memberi subsidi kepada golongan T20 bagi penggunaan elektrik dan bantuan kewangan haji.

Beliau berkata sistem penyelarasan data, Pangkalan Data Utama (Padu)  yang dijangka siap akhir tahun ini akan mengurus serta menyelaras penilaian agihan subsidi kepada golongan layak.

Anwar juga sebelum ini mengumumkan pengguna domestik yang menggunakan elektrik berlebihan akan dikenakan caj tarif elektrik semasa dan tidak diberikan subsidi.

Loading...
Terkini