comscore
Tumpuan :
Nasional

Sultan Nazrin perkenan 70 belia baca khutbah Jumaat esok

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan kepada 70 pemimpin pertubuhan belia untuk diberi penghormatan membaca khutbah Jumaat pada esok di 70 masjid seluruh Perak.

Ia sebagai mengiktiraf peranan penting belia kepada negara, bersempena dengan tarikh Hari Belia Negara disambut pada 15 Mei (semalam).

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata Sultan Nazrin menitahkan supaya 70 mereka menyampaikan khutbah Jumaat di negeri Perak esok di bawah tajuk “Belia: Tenaga Penggerak Pembawa Pembaharuan.”

Katanya, susulan itu, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Perak sudah mengemukakan 70 nama pemimpin belia kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk diangkat sembah bagi menyampaikan khutbah terbabit, dengan kesemua 70 nama itu sudah mendapat perkenan Sultan Nazrin.

Teks khutbah mengisahkan peranan belia atau orang muda yang dibuktikan melalui kisah-kisah dalam al-Quran dengan disifatkan bersedia menerima pembaharuan dan berani melakukan perubahan, selain ramai kalangan pemuda Muslim yang menunjukkan kualiti unggul dalam tamadun Islam.

Ia termasuk beberapa sahabat Rasulullah SAW daripada kalangan pemuda seperti Umar al-Khattab, Ali Abi Talib; Jaafar Abi Talib; Abdullah Ibn Masud.

Mereka ini disifatkan antara barisan pemuda yang mempamerkan fikiran terbuka untuk menerima perubahan, yang kemudiannya berperanan sebagai kumpulan penggerak terawal yang berada di barisan hadapan dengan mengambil tanggungjawab membantu Rasulullah SAW menyebarkan Islam.

Selain itu teks khutbah berkenaan turut menyentuh peranan Usamah bin Zaid ketika berusia 18 tahun yang diberikan kepercayaan untuk mengetuai tentera Islam sehingga berjaya menakluki Kerajaan Byzantium; di samping Imam As-Syafie yang diberi kepercayaan oleh gurunya untuk memberikan fatwa ketika berusia 15 tahun.

Menurut Mohd Annuar, langkah itu juga selaras kedudukan belia dalam memberikan identiti rupa bentuk warga di negara ini pada masa depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini