comscore
Tumpuan :
Nasional

Suruhanjaya laksana 4 fungsi lindungi kanak-kanak

Datuk Seri Azalina Othman Said

PUTRAJAYA: Penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak seperti dipersetujui Kabinet semalam bakal melaksanakan empat fungsi dalam melindungi dan memelihara kebajikan golongan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata suruhanjaya itu akan berfungsi mempromosi kesedaran dan pendidikan terhadap hak kanak-kanak kepada Kerajaan dan orang awam; menasihati dan membantu Kerajaan dalam menggubal perundangan, arahan pentadbiran dan prosedur serta mengesyorkan tindakan-tindakan yang perlu diambil.

Beliau berkata, ia juga berfungsi menasihati Kerajaan berhubung obligasi antarabangsa bawah Convention on the Rights of the Child (CRC) dan lain-lain perjanjian antarabangsa yang berkaitan; dan mengadakan inkuiri dan menjalankan penyiasatan terhadap aduan mengenai pelanggaran hak kanak-kanak.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan Jemaah Menteri kerana bersetuju untuk menubuhkan Suruhanjaya Kanak-kanak (Children’s Commission) iaitu sebuah badan berkanun yang bebas untuk melindungi dan memelihara kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Loading...
Terkini