comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Suspek kes simbah asid, cat merah diberkas

 

Oleh Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Polis berjaya menahan suspek yang dipercayai terlibat dalam insiden simbah asid dan cat di premis jualan kenderaan dengan tujuan memeras ugut, semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata suspek utama berusia 36 tahun diberkas bersama empat lagi rakan yang bersubahat dalam kesalahan itu.

“Semua lima suspek berusia 26 hingga 63 tahun ditahan di beberapa lokasi berasingan. Suspek utama berusia 36 tahun merupakan tangkapan ketiga dan pemeriksaan mendapati dia memiliki satu rekod kesalahan lampau. Kesemua mereka akan direman pagi ini.

“Suspek utama yang menyimbah asid dan cat itu dipercayai mempunyai masalah hutang dengan Ah Long. Sebab itu, dia mengambil tindakan memeras ugut peniaga untuk mendapatkan wang dan melangsaikan hutang.

“Manakala empat lagi suspek yang ditahan disyaki membantu suspek utama dalam melakukan jenayah ini, termasuk mendapatkan kad sim telefon dan motosikal,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Ketua Polis Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri, di sini, pagi tadi.

Katanya, polis percaya masih ada suspek yang terbabit dalam kes berkenaan dan masih mengesan individu terbabit.

Semalam, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong berkata polis sedang memburu seorang suspek yang menyimbah cat merah dan asid di premis jualan kenderaan baharu dan terpakai di daerah berkenaan dengan tujuan memeras ugut pemiliknya.

Katanya, polis telah menerima 12 laporan polis berhubung 10 kejadian yang dilaporkan berlaku dari 2 Mei hingga 23 Mei yang membabitkan kerosakan 43 buah kereta dan 18 motosikal.

Suspek menyimbah cat dan asid di premis jualan itu kemudiannya berhubung pemiliknya untuk meminta wang sebanyak RM10,000 dan jika enggan, kejadian itu akan berulang.

Loading...
Terkini