comscore
Tumpuan :
Jenayah

Operator kilang diupah RM50,000 hantar syabu RM2.57 juta

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Khaw Kok Chin dalam sidang media kejayaan operasi rampasan dadah bernilai RM2.57 juta di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar di Kuala Kangsar hari ini. – FOTO: NSTP

KUALA KANGSAR: Seorang operator kilang memperoleh upah RM50,000 untuk bertindak sebagai ‘transporter’ menghantar bekalan dadah syabu atau methamphetamine seberat lebih 51 kilogram (kg) bernilai RM2.57 juta.

Tindakannya terbongkar selepas polis melakukan serbuan ke atas sebuah bangunan di sini yang menjadi lokasi persinggahan suspek.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Khaw Kok Chin berkata turut ditangkap, seorang rakan suspek.

Suspek kedua itu bagaimanapun mengakui hanya memperolehi RM500 bagi penghantaran dadah berkenaan.

Tambah Kok Chin, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas sebuah kenderaan Mercedes Benz sedan yang digunakan untuk mengangkut dadah itu.

Kenderaan yang dirampas daripada suspek dalam operasi rampasan dadah bernilai RM2.57 juta di Kuala Kangsar.

Dadah diisi dalam tiga beg berasingan dan diletakkan dalam bonet kenderaan itu.

Suspek berumur 33 dan 31 tahun.

Jelas Kok Chin, ia adalah rampasan dadah terbesar di negeri Perak tahun ini.

“Dalam kes ini, kereta yang dinaiki dua sepek berkenaan merupakan milik bapa kepada B2 (jurupendawaian berumur 31 tahun),” katanya dalam sidang media kejayaan operasi serbuan itu di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri; Ketua JSJN IPK Perak, Asisten Komisioner Lee King Chuan dan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisiomer Omar Bakhtiar Yaacob.

Kata Kok Chin lagi, modus operandi yang digunakan sindiket itu adalah mendapatkan bekalan dadah di negeri bersempadanan sebelah utara dan diseludup masuk menggunakan kereta.

Dadah dipercayai untuk diedarkan di sekitar Kuala Kangsar dan seluruh negeri Perak.

Katanya lagi, saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methamphethamine dengan suspek yang bekerja sebagai operator kilang itu turut didapati mempunyai rekod lampau pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya lagi, selain RM2.57 juta dadah yang dirampas, operasi serbuan itu turut merampas kereta Mercedes Benz kepunyaan bapa jurupendawaian itu yang dianggarkan bernilai RM53,000.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini