comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pengarah, penerbit filem Mentega Terbang dituduh di mahkamah esok

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Pengarah dan penerbit filem kontroversi, Mentega Terbang akan dituduh di mahkamah di sini esok.

Pertuduhan akan dibuat terhadap pengarah Mohd Khairianwar Jailani dan Penerbit, Tan Meng Kheng mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana didakwa mempunyai unsur penghinaan terhadap agama.

Terdahulu, babak watak utama, Aisyah mahu memakan daging babi menjadi tular berserta babak bapa membenarkannya meninggalkan Islam dan memeluk agama lain.

Ia sekali gus menimbulkan kemarahan pengguna media sosial, malah ada yang mempersoalkan bagaimana filem berkenaan dibenarkan untuk tontonan umum.

Filem itu menyentuh perbezaan dan persamaan agama utama di Malaysia mendapat kritikan orang ramai dan penggiat seni berikutan tayangannya di Viu, awal tahun lalu.

Susulan itu Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman membuka kertas siasatan berhubung filem Mentega Terbang yang mencetuskan kontroversi dengan jalan cerita yang didakwa mempersendakan Islam.

Pihak berkuasa turut mewartakan perintah larangan terhadap penayangan filem kontroversi, itu di seluruh negara.

Warta bertarikh 1 September itu dikeluarkan menerusi Perintah Penapisan Filem (Larangan) 2023, turut mencakupi larangan pempameran, pengedaran, pemilikan, penyebaran atau penjualan filem.

Warta itu ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 21 Ogos lalu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini