comscore
Tumpuan :
Nasional

Tak patut jual segelas air suam RM2

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika ditemui media di Seremban, hari ini. -Foto: NSTP

SEREMBAN: Peniaga makanan dan minuman di Port Dickson diharap tidak mengambil kesempatan menaikkan harga secara melampau walaupun pada musim perayaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata tindakan segelintir peniaga di daerah pelancongan itu menjual air suam pada harga RM2 segelas adalah tidak munasabah.

“Saya berharap peniaga khususnya di Port Dickson tidak mengambil kesempatan menaikkan harga makanan dan minuman walaupun pada cuti umum atau perayaan.

“Saya harap kita dapat kekalkan kemesraan yang selalu dikatakan agar mereka (pengunjung) tidak serik untuk datang lagi ke Port Dickson.

“Jangan jadikan ini sejarah hitam bagi pengunjung yang datang ke Port Dickson,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pertemuan Mesra Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan di Hotel Royal Chulan di sini, hari ini.

Terdahulu, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dilaporkan menerima aduan mengenai peniaga di Medan Selera Seri Bayu Port Dickson yang mengenakan caj air suam RM2.

Susulan aduan berkenaan, MPPD dikatakan tidak akan memperbaharui lesen peniaga berkenaan.

Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berharap kes berkenaan tidak berulang demi menjaga Port Dickson sebagai destinasi pelancongan terkenal.

“Saya berharap peniaga bersikap lebih bertanggungjawab dalam menjaga hubungan dengan pengunjung.

“Usah bersikap mengejar keuntungan kerana masih ada masa panjang untuk menjalankan perniagaan,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini