comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tak sangka menang cabutan bertuah RX-Z

Pemenang utama cabutan bertuah, Hamzah Musa (tengah) memenangi motosikal Yamaha RX-Z ketika pertandingan memancing sempena ulangahun pertama kolam pancing Abah23 Paradise di Batu 23, Sungai Nibong, Sekinchan.- Foto: NSTP

SEKINCHAN: Niat seorang pemancing mahu memiliki motosikal tertunai apabila membawa pulang sebuah Yamaha RX-Z.

Ia selepas namanya diumumkan sebagai pemenang cabutan bertuah pertandingan memancing sempena ulang tahun pertama kolam pancing Abah23 Paradise, di sini hari ini.

Hamzah Musa, 53, berkata dia yang mendaftar seawal jam 8.30 pagi tadi tidak menyangka namanya terpilih dalam cabutan itu.

Katanya, sebelum ini dia pernah memiliki motosikal daripada model sama namun terpaksa dijual atas sebab tertentu.

“Sepanjang pertandingan berlangsung, saya sudah berazam untuk tidak memenangi ‘ranking’ (ikan paling berat) sebaliknya mahu motosikal.”

“Saya bersyukur di atas hadiah ini. Bagaimanapun, belum ada keputusan sama ada untuk menggunakannya atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui di Batu 23, Sungai Nibong, di sini.

Terdahulu, bapa kepada enam anak berusia 23 hingga enam tahun itu menerima kunci dan geran daripada pengusaha Abah23 Paradise, Mohd Razif Aini, 38.

Pemenang kedua, Mohamad Zaidi Sungip, 35, pula membawa pulang motosikal Yamaha LC 135.

Seramai 220 pemancing menyertai pertandingan itu.

Hadiah utama, wang tunai RM3,000 dimenangi Mohd Azhar Ahmad Yusof, 39, apabila berjaya menaikkan siakap seberat 3.38 kilogram (kg).

Sementara itu, Mohd Razif berkata Yamaha RX-Z yang dijadikan hadiah cabutan bertuah, sebelum itu adalah miliknya selama tiga tahun.

Beliau yang juga pengusaha restoran Abah Ikan Bakar turut memaklumkan mahu menawarkan hadiah kereta Perodua Myvi pada mulanya.

“Kebetulan pada September setiap tahun, ada program membabitkan motosikal Yamaha RX-Z dan ia mendapat sambutan menggalakkan.”

“Dari situ saya mendapat idea untuk menukar hadiah daripada Perodua Myvi kepada motosikal sebab harga kereta itu sendiri sama dengan Yamaha RX-Z dan ia adalah barang ‘rare’,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini