comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] [KEMAS KINI] ‘TAKTSTORER’ hantar emel ancaman bom ke 19 sekolah

 

 

Oleh: Ing Boon Seng

PETALING JAYA: 19 sekolah termasuk 16 sekolah antarabangsa di enam negeri menerima ancaman bom palsu petang tadi.

Kesemua ancaman berkenaan diterima menerusi kiriman emel dan penghantar emel dipercayai menggunakan aplikasi penterjemahan untuk menulis kandungan emel itu dalam Bahasa Malaysia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan rapi sedang dijalankan namun menegaskan tiada sebarang risiko keselamatan melibatkan sekolah terbabit.

Beliau berkata selain 16 sekolah antarabangsa, tiga buah sekolah aliran kebangsaan turut menerima ancaman bom itu.

Tujuh daripadanya diterima di Selangor iaitu masing-masing dua di Petaling Jaya dan Shah Alam serta masing-masing satu di Kajang, Kuala Langat dan Subang Jaya.

Di Kuala Lumpur pula, panggilan diterima di lima buah sekolah, Johor tiga, Pulau Pinang dua, dan masing-masing satu di Perak dan Negeri Sembilan.

Tambahnya, sejurus dimaklumkan mengenai penerimaan emel ancaman itu, PDRM dengan kerjasama sekolah-sekolah yang terlibat segera mengambil tindakan mengosongkan premis dan pengungsian pelajar ke lokasi selamat dilakukan.

Pemeriksaan rapi kemudian dilakukan dan tiada sebarang ancaman atau risiko bom dikesan di mana-mana sekolah.

Jelas beliau, siasatan turut menjurus sama ada insiden yang berlaku di Malaysia, ada kaitan dengan kejadian di Jamaica baru-baru ini.

Ini kerana siasatan awal menunjukkan kandungan emel sama dalam Bahasa Inggeris turut dihantar ke lebih 70 buah institusi di Jamaica, 12 November lalu.

Penghantar emel kemudian turut membuat panggilan ke beberapa sekolah.

Kejadian di Jamaica dipercayai didalangi seorang individu bermasalah yang mungkin pernah mengalami penderaan ketika zaman kanak-kanaknya dan kurang perhatian namun mempunyai kepakaran dalam bidang perisian komputer untuk melindungi identitinya.

Tambah beliau lagi, siasatan juga mendapati pengirim emel menggunakan nama ‘TAKTSTORER’ dari bahasa Jerman yang bermaksud ‘pengganggu ketenteraman’.

Dua alamat emel berbeza diguna untuk menghantar emel ancaman tersebut.

Semakan mendapati kedua-dua alamat emel itu baru dicipta dan tidak pernah digunakan di mana-mana perkhidmatan dalam internet.

Tegas Tan Sri Razarudin, keselamatan murid-murid serta guru-guru adalah keutamaan pihak polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini