comscore
Tumpuan :
Nasional

Tambah PPV Covid-19, tetapi ibu bapa tetap tak mahu ambil untuk anak-anak

KUALA LUMPUR: Kempen besar-besaran pemberian vaksinasi COVID-19 di sekolah dan taman didikan kanak-kanak (tadika) didapati oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai tidak kos efektif berikutan permintaan terlalu rendah dalam kalangan ibu bapa.

Menurut Menterinya, Dr Zaliha Mustafa, sebaliknya ibu bapa yang berhasrat mendapatkan vaksin bagi anak mereka digalakkan melayari laman sesawang KKM dan ProtectHealth untuk mendapatkan senarai fasiliti KKM dan klinik swasta yang menawarkan vaksin COVID19.

Beliau berkata ibu bapa juga boleh mengambil vaksin untuk anak mereka secara datang terus (walk-in) di pusat pemberian vaksin (PPV) yang disenaraikan dan dihebahkan melalui media sosial rasmi KKM.

Katanya, bagi tempoh 17 hingga 30 Januari 2023, hanya seramai 2,133 orang atau 0.1 peratus ibu bapa membawa anak untuk dos penggalak.

“Pencapaian yang rendah ini disebabkan kurangnya permintaan daripada ibu bapa walaupun KKM mempertingkatkan akses dengan menambah sebanyak 858 hospital dan klinik kesihatan sebagai PPV COVID-19 termasuk untuk kanak-kanak di seluruh negara,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan apakah langkah atau pendekatan baharu yang akan dilaksanakan untuk menggalakkan vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak, memandangkan kadar vaksinasi ketika Program Imunisasi COVID-19 untuk kanak-kanak (PICKids) dilaksanakan hanya sekitar 50 peratus.

Kee Chin juga inginkan penjelasan sama ada kerajaan bersedia melaksanakan satu lagi kempen vaksinasi besar-besaran khas untuk kanak-kanak, dengan penglibatan sekolah dan tadika.

Dr Zaliha berkata KKM melaksanakan (PICKids) bermula 3 Februari tahun lalu dan pemberian dos penggalak untuk kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun dimulakan pada 18 Julai tahun lalu untuk kanak-kanak yang mempunyai sistem imuniti tubuh yang rendah (moderate or severely immunocompromised).

Beliau berkata seterusnya pemberian dos penggalak diperluaskan kepada semua kanak-kanak tanpa mengira status kesihatan mereka bermula 9 Januari lalu.

Katanya, setakat 30 Januari 2023, seramai 1,771,928 orang atau 49.9 peratus kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 dan 1,539,234 atau 43.4 peratus telah melengkapkan dua dos.

“Setelah mendapat kelulusan peluasan pemberian vaksin dos penggalak COVID-19 pada 9 Januari 2023, KKM mula melaksanakan pemberian dos penggalak dalam kalangan kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun.

“Bagi meningkatkan penerimaan program PICKids dalam kalangan ibu bapa/ penjaga, KKM melaksanakan aktiviti promosi dan pendidikan secara berterusan di pelbagai saluran media bagi memastikan masyarakat mendapat maklumat yang tepat.

“Antara mesej yang disampaikan ialah keberkesanan serta keselamatan vaksin yang menggunakan formulasi khusus untuk kanak-kanak, kepentingan untuk mendapatkan vaksin dan kemudaratan yang mungkin berlaku sekiranya kanak-kanak tidak divaksin,” katanya.

Loading...
Terkini