comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tarif Air: Hasil pelarasan ‘dikembalikan’ kepada rakyat melalui kualiti perkhidmatan

KUALA LUMPUR: Manfaat hasil unjuran pendapatan syarikat operator bekalan air akan ‘dikembalikan’ kepada rakyat melalui peningkatan tahap perkhidmatan membabitkan pembangunan infrastruktur bekalan air di negara ini.

Menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), syarikat operator di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan dijangka memperoleh unjuran pendapatan tambahan setahun antara RM2.4 juta hingga RM105 juta melalui pelarasan tarif air berkuat kuasa 1 Februari ini.

Unjuran pendapatan setahun Air Selangor katanya adalah sebanyak RM105 juta yang membabitkan kawasan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Manakala, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) pula menetapkan unjuran RM86 juta sementara syarikat pembekal air Johor, Ranhill SAJ Sdn Bhd mengunjurkan RM91.2 juta setahun.

“Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) mengunjurkan RM15 juta setahun, Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd atau SAINS (RM14.28 juta), Lembaga Air Perak atau LAP (RM43 juta) dan Pengurusan Air Pahang Berhad atau PAIP (RM 84 juta).

“Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd atau SADA mengunjurkan RM30 juta setahun manakala Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd atau SATU (RM9.6 juta), Air Kelantan Sdn Bhd atau AKSB (RM11.06 juta), Syarikat Air Perlis atau SAP (RM8 juta) dan RM2.4 juta setahun bagi Jabatan Bekalan Air Labuan,” katanya.

Menurut SPAN, kebanyakan operator air berdepan isu membabitkan kualiti air terawat tidak memuaskan, hutang tertunggak tinggi, masalah air tidak terhasil (NRW) tinggi, banyak paip usang berusia lebih 30 tahun, loji melebihi kapasiti dan pendapatan tidak dapat menampung kos.

Justeru katanya, melalui pelarasan tarif air ini, syarikat operator air merancang meningkatkan penyampaian perkhidmatan lebih cekap, memberikan bekalan air bukan sahaja berkualiti namun berterusan dan mencukupi.

Menurut SPAN, antara perancangan diunjurkan syarikat operator air adalah penggantian paip sepanjang 300 kilometer (km) setahun bagi menyelesaikan isu kerosakan paip dan meningkatkan kualiti air di seluruh Lembah Klang bagi Air Selangor.

“Air Selangor juga merancang menyelesaikan isu bekalan air di Pulau Ketam, Sepang, Kuala Langat, Klang dan Petaling melalui pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Rasau; LRA Penyahgaraman Pulau Ketam dan Labohan Dagang.

“Bagi AKSB di Kelantan, antara perancangan syarikat itu ialah menyelesaikan isu kualiti dan bekalan air di Bachok, Machang, Kota Bharu dengan cadangan penyelesaian adalah melalui pembinaan LRA Tok Bali, LRA Merbau Chondong, LRA Chica dan LRA Tanjung Mas,” katanya.

Menurut SPAN, PBA di Pulau Pinang juga mencadangkan penyelesaian pembinaan stesen pam, LRA termasuk di Sungai Kerian dan penggantian paip bagi menangani isu bekalan air di Seberang Perai tengah dan selatan.

“Walaupun jumlah unjuran tambahan dinyatakan dilihat agak besar namun realitinya jumlah itu sekadar memadai untuk membiayai sebahagian kos menambah baik fasiliti perkhidmatan air di negeri-negeri dengan mengambil kira situasi fasiliti dan jumlah akaun pengguna.

“Sebagai contoh, walaupun Selangor dijangka mencatat unjuran RM105 juta, jumlah itu akan digunakan bagi menambah baik perkhidmatan di negeri yang mempunyai lebih 2.5 juta akaun pengguna dan menguruskan fasiliti seperti paip perkhidmatan sepanjang lebih 30,000km,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini