comscore
Tumpuan :
Nasional

Tarif air: Pengguna perlu cekap optimum penggunaan air

Pengguna sedang memeriksa bil menjelang pelarasan tarif baharu berkuat kuasa 1 Februari ini. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Orang ramai tidak perlu khuatir sebaliknya lebih cekap dalam mengoptimumkan penggunaan air di kediaman masing-masing berikutan pengumuman pelarasan tarif air baharu bagi pengguna domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula 1 Februari depan.

Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Mohd Fazil Ismail berkata, bukan semua akan merasakan impak kenaikan purata 22 sen bagi setiap meter padu itu kerana berdasarkan data diperoleh sekitar 47.8 peratus pengguna domestik merekodkan penggunaan kurang daripada 20 meter padu.

“… dan mengambil kira kerajaan negeri turut menyambung inisiatif untuk memberikan subsidi bersasar kepada pengguna melalui program mereka jadi, kami menjangkakan bahawa akan ada pengguna sedia ada tidak terjejas dengan sebarang kenaikan.

“… kalau ada pengguna yang tidak ada dalam kumpulan bersasar tetapi menggunakan tidak melebihi 20,000 liter, kesan atau implikasi terhadap pelarasan itu minimum secara amnya,” katanya.

Beliau berkata, pengguna turut disaran untuk bertukar kepada produk cekap air di bawah Skim Pelabelan Produk Cekap Air bagi mendisiplinkan penggunaan secara berhemah selain turut menyifatkan langkah berkenaan sebagai situasi menang-menang untuk pengguna dan kelestarian alam sekitar.

“Sebagai contoh mungkin sebelum ini kalau kita berwuduk menggunakan sekitar 5 hingga 7 liter air tetapi menggunakan produk cekap air yang mempunyai tiga bintang akan mengeluarkan 2 hingga 3.5 liter sahaja bagi setiap satu minit,” katanya.

Pelarasan tarif dilaksanakan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif dengan struktur dan komponen tarif air diseragamkan untuk negeri-negeri di Semenanjung serta Labuan dan akan dikaji semula setiap tiga tahun bagi memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran.

Tarif baharu air itu dijangka membabitkan kenaikan caj bil dalam julat antara RM1.60 hingga RM8 bagi setiap kediaman atau lima hingga 27 sen sehari bagi penggunaan isi rumah 20 meter padu sebulan.

Loading...
Terkini