comscore
Tumpuan :
Nasional

Telur naik harga, FOMCA pun tak tahu punca

Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Tindakan tegas perlu diambil ke atas peniaga atau pembekal yang didapati menaikkan harga telur ayam walaupun bekalan itu kembali pulih.

Gesaaan itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr Saravanan Thambirajah, agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil tindakan tegas ke atas peniaga mahupun pembekal terbabit.

Beliau mengakui FOMCA tidak tahu punca harga telur ayam meningkat secara mendadak walaupun negara tidak mengalami kekurangan bekalan makanan berkenaan.

“Mengenai harga telur ayam mahal, buat masa ini kita belum terima sebarang aduan daripada pengguna, tetapi kita mahu lihat peranan KPDNHEP untuk ambil tindakan ke atas peniaga atau sesiapa sahaja yang mencatut.

“KPDNHEP ada kuasa buat siasatan dan penguatkuasaan untuk mengetahui apa punca sebenar harga telur ayam naik. Sehingga kini kita tidak mendengar sebarang kenyataan daripada pihak berkaitan mengenai isu ini,” katanya kepada BH, semalam.

Semalam, BH melaporkan, tinjauan mendapati bekalan telur ayam di pasaran runcit beberapa negeri kembali stabil, namun harganya pula meningkat, ada yang mencecah sehingga RM17 sepapan bagi telur gred A.

Kenaikan harga itu juga didakwa berpunca daripada pembekal yang mengenakan caj tambahan, iaitu dua sen untuk setiap biji telur sehingga memaksa harga jualan runcit turut dinaikkan untuk semua jenis gred.

Sementara itu, Saravanan berkata, isu kenaikan harga telur ayam bukan baharu dan di bawah KPDNHEP juga, ditubuhkan jawatankuasa khas seperti Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup untuk melihat pelbagai isu, termasuk bekalan makanan dalam negara.

“Menerusi jawatankuasa ini, kita letakkan data terkini bekalan makanan seperti ayam, telur, sayur-sayuran dan sebagainya. Pada masa itu memang berlaku kekurangan bekalan ayam kerana negara kita baru sahaja pulih daripada pandemik COVID-19.

“Namun, sejak dua bulan lalu, (data menunjukkan) memang tiada isu kekurangan bekalan makanan, sebaliknya tiba-tiba kekurangan bekalan telur ayam pula. Perkara inilah yang kita mahu KPDNHEP terangkan kepada rakyat.

“Terangkan adakah kekurangan bekalan telur ayam dan kenaikan harganya disebabkan permintaan yang berlebihan atau sebaliknya,” katanya turut mengajak rakyat memainkan peranan menangani kenaikan harga atau kekurangan makanan dengan membuat aduan kepada pihak berkaitan.

Katanya, tindakan lain seperti boikot peniaga akan menyebabkan kerugian kepada sektor perniagaan dan juga ekonomi negara.

“Janganlah boikot peniaga kerana ia bukan perkara yang bagus, akan menyebabkan kerugian kepada peniaga dan ekonomi. Kita boleh main peranan dengan membuat aduan kepada kementerian yang kemudian akan ambil tindakan.

“Mereka mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan petunjuk prestasi utama (KPI) yang boleh dicapai. Dengan aduan itu, penguat kuasa boleh buat tinjauan dan sekiranya betul ada yang mencatut dan menaikkan harga, tindakan dapat diambil,” katanya.

Saravanan menegaskan, aduan perlu disalurkan kepada pihak yang sepatutnya seperti FOMCA atau KPDNHEP dan bukan hanya melalui media sosial.

“Bila dapat tahu ada kenaikan harga telur di sesetengah tempat, kita ada hak nak buat aduan, namun mestilah kena pada tempatnya, bukan hanya letak dekat media sosial semata mata, kata telur ayam itu mahal. Jika di media sosial, kementerian tidak akan tahu,” katanya.

Loading...
Terkini