comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

[VIDEO] ‘Terima kasih bantu Khayla, Khayla sayang semua’

Imran Mohd Yusoff (kanan) dan isteri Khairol Niza Zaffarullah Khan serta anak sulung mereka Nur Imizaaiza Irdina  (kiri) dan Khayla Adha Mirza yang menghidapi Osteogenesis Imperfecta (OI) atau penyakit tulang rapuh ketika ditemui di Tamah Pauh Jaya di Bukit Mertajam hari ini. – FOTO: NSTP

BUKIT MERTAJAM: “Terima kasih bantu Khayla, Khayla sayang semua” demikian kata pesakit Osteogenesis Imperfecta (OI) atau penyakit tulang rapuh Khayla Adha Mirza Imran, 8, ketika ditemui di rumahnya di Taman Pauh Jaya, di sini, hari ini.

Khayla yang tidak lekang dengan senyuman biarpun duduk di kerusi roda berterima kasih kepada semua pihak yang tidak pernah putus membantunya sejak dia menghidap penyakit itu ketika lahir.

Bapa kanak-kanak itu, Imran Mohd Yusoff, 45, berkata anak bongsunya memerlukan rawatan suntikan dos penggalak sel stem pada setiap bulan untuk menguatkan tulang yang kos keseluruhan mencecah RM126,000 setahun.

“Setiap bulan, Khayla perlu mengambil dua kali suntikan sel stem penggalak yang masing-masing berharga RM2,400 dan setiap dua sebulan sekali perlu disuntik sel stem darah yang berharga RM11,400 di sebuah hospital swasta di Ampang, Selangor,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mohamad Abdul Hamid (kanan) menziarahi serta menyampaikan sumbangan kepada pesakit Osteogenesis Imperfecta (OI) atau penyakit tulang rapuh, Khayla Adha Mirza Imran. – FOTO: NSTP

Jelas Imran, kos rawatan itu amat tinggi dan dia yang menjual bomboloni di pasar malam tidak mampu menampungnya.

Tambahnya, dia bersyukur menerima bantuan daripada pelbagai pihak.

Pada masa sama, Imran berharap orang ramai tidak tertipu sekiranya ada ternampak tabung kutipan derma buat Khayla kerana dia dan keluarga tidak pernah berbuat demikian.

Terdahulu, Khayla dan keluarganya menerima kunjungan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam (MAINPP), Datuk Dr Mohamad Abdul Halim.

Dalam pada itu, Imran dan isterinya, Khairol Niza Zaffarullah Khan, 44, masih meletakkan harapan tinggi untuk melihat anak mereka dapat berdiri dan berjalan seperti kanak-kanak lain.

“Khayla boleh berdiri dengan pembedahan memasukkan besi dalam tulangnya namun ketika ini keadaannya belum mengizinkan dan memerlukan dia disuntik sel stem dalam satu tempoh masa bagi memastikan tulangnya betul-betul kuat,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata Zakat Pulau Pinang (ZPP) memperuntukkan bantuan tanpa tunai sebanyak RM2,000 sebulan dan sumbangan ‘one off’ berjumlah RM30,000 untuk membiayai kos rawatan Khayla.

“Bantuan tanpa tunai ini juga membolehkan ibu bapa Khayla mendapatkan pelbagai barangan keperluan di farmasi antaranya lampin dan susu, manakala bantuan sekali bayar boleh diperbaharui mengikut kesesuaian.”

“Permohonan sumbangan bantuan ZPP ini mula diproses selepas saya sendiri menziarahi keluarga Khayla kira-kira tiga minggu lalu,” katanya.

Media semalam melaporkan kanak-kanak itu mengimpikan untuk berdiri dan mahu mempunyai kaki untuk berjalan.

Bagaimanapun, ibu bapa kepada kanak-kanak terbabit tidak dapat berbuat apa-apa selepas mendengar luahan anak mereka, melainkan memujuk supaya menerima ketentuan walaupun masih kecil untuk menanggung derita penyakit tiada penawar itu.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Hong Leong Bank bernombor 05351090018 atas nama Khairol Niza Zaffarullah Khan (ibu Khayla) atau menghubunginya di talian 011-37127515.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini