comscore
Tumpuan :
Nasional

Terlibat aktiviti persundalan, ibu tunggal dipenjara 4 bulan

Nur Shafiqah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Muar atas pertuduhan menawarkan khidmat seks. – Foto: NSTP

MUAR: Seorang ibu tunggal terpaksa meringkuk empat bulan dalam penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, atas pertuduhan menawarkan khidmat seks, awal bulan ini.

Tertuduh, Nur Shafiqah Mohd Faris, 35, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Analia Kamaruddin.

Mengikut fakta kes, sepasukan anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar membuat serbuan di sebuah rumah di Jalan Arab, di sini pada jam 11.30 malam, 9 Julai lalu.

Dalam serbuan itu, terdapat dua individu masing-masing seorang lelaki dan wanita di ruang tamu kediaman yang disyaki menjalankan aktiviti persundalan.

Pemeriksaan dalam bilik tidur kemudian menemui tertuduh serta seorang lelaki berusia 26 tahun dipercayai pelanggannya.

Polis turut menemui kondom yang baru digunakan serta wang tunai berjumlah RM200 pada mangsa.

Berikutan itu, tertuduh ditahan dan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap 9 Julai lalu.

Di mahkamah sama, tertuduh juga mengaku bersalah terhadap satu lagi pertuduhan menggunakan dadah jenis methamphetamine.

Ini susulan ujian air kencing dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar mendapati dia positif dadah terbabit.

Bagi kes itu, mahkamah menetapkan 13 September depan untuk sebutan semula kes serta laporan kimia.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Putera Amirool Faez Suhasi manakala tertuduh diwakiliNor Hafizah Abdullah dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YGBK).

Loading...
Terkini