comscore
Tumpuan :
Nasional

Tetap semangat ke sekolah walau berselipar getah dan berbaju biasa

Tinjauan ke sekolah Kebangsaan (SK) Gual To deh, Rantau Panjang, hampir 90 peratus pelajar tidak berpakaian seragam lengkap kerana difahamkan majoriti pelajar di situ adalah mangsa banjir. – FOTO: NSTP

RANTAU PANJANG: Keprihatinan Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan kelonggaran untuk pelajar yang terkesan musibah banjir berpakaian biasa ke sekolah, disambut rasa syukur kepada keluarga yang terlibat bencana itu.

“Saya tetap bersemangat ke sekolah walaupun hanya memakai baju biasa dan berselipar getah,” kata Muhammad Syafik Ikram Mazlan, 11.

Dia adalah antara murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’Deh di sini yang ditimpa musibah banjir menyebabkan barangan sekolah miliknya seperti baju, kasut dan beg ditenggelami air selain berlumpur.

Katanya, mulanya dia patah semangat untuk ke sekolah kerana hampir semua kelengkapan persekolahan musnah, tetapi selepas dimaklumkan guru bahawa murid terkesan banjir diberikan kelonggaran berpakaian, dia kembali bersemangat.

“Tambahan pula, hampir separuh rakan sekelas saya juga adalah mangsa banjir, jadi kami sepakat beramai-ramai untuk pakai dahulu baju T atau pakaian kokurikulum ke sekolah hari ini, selain masing-masing mengenakan selipar sahaja.

“Nasib baik buku serta alat tulis sempat diselamatkan, manakala beg pula ayah, Mazlan Abd Samad, 54, terpaksa belikan yang baharu kerana yang lama disaluti lumpur tebal dan tidak boleh digunakan lagi.

“Saya sedih kerana banyak barangan rosak akibat bah kali ini, namun atas nasihat ibu dan ayah saya kuatkan juga semangat untuk datang ke sekolah demi menimba ilmu,” katanya ketika ditemui di SK Gual To’Deh, di sini, hari ini.

Tinjauan ke sekolah berkenaan mendapati hanya murid Tahap Dua hadir untuk sesi pembelajaran di sekolah, yang mana hampir 90 peratus daripada mereka tidak berpakaian lengkap kerana difahamkan majoriti pelajar di situ adalah mangsa banjir

.Sementara itu, bagi Noriah Yusof, 48, sebagai ibu, dia bersyukur kerana anaknya masih boleh meneruskan sesi persekolahan.

“Anak saya pada awalnya mengelak untuk datang ke sekolah kerana kesemua baju dan barangan lain masih tersimpan rapi di atas para belum sempat dibawa turun kerana rumah juga tak dicuci sepenuhnya.

“Selepas diberitahu bahawa rakannya yang lain juga berhadapan masalah sama, barulah dia kembali senyum dan merelakan diri untuk ke sekolah,” katanya.

Semalam media melaporkan Jabatan Pendidikan Kelantan memberi kelonggaran kepada pelajar di negeri ini yang terjejas banjir untuk hadir ke sekolah dengan berpakaian biasa, bermula sesi persekolahan hari ini.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini