comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] TH gantung lesen PJH Emraz Travel

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) telah menggantung lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) Emraz Travel & Tours Sdn Bhd sebagai langkah awal untuk melindungi kebajikan bakal jemaah haji.

TH dalam kenyataan hari ini berkata, keputusan itu diambil berikutan makluman beberapa aduan awam berkenaan perkhidmatan umrah yang diberikan oleh syarikat terbabit.

Menurut TH, bakal haji yang memilih untuk mengerjakan haji melalui pakej swasta masih boleh memilih antara 22 lagi syarikat PJH yang dilesenkan, termasuk anak syarikat TH iaitu TH Travel & Services Sdn Bhd.

TH sentiasa memantau prestasi syarikat PJH yang dilesenkan termasuk perkhidmatan yang diberikan bagi ibadah umrah,kata kenyataan itu lagi.

TH tidak akan teragak agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak demi untuk menjamin kebajikan jemaah haji negara.

Jumaat lalu, pejabat agensi terbabit di Putrajaya, diserbu lebih 100 bakal jemaah umrah yang menuntut bayaran balik setelah penerbangan mereka ke tanah suci Ramadan ini ditangguhkan.

Buletin TV3 melaporkan bakal jemaah kesal tindakan agensi berkenaan memaklumkan kepada mereka pada saat-saat akhir dan sehingga kini belum membuat sebarang pembayaran semula.

Ketua Pegawai Eksekutif agensi itu, Datuk Dr Zulkarnain Endut berkata, penangguhan itu disebabkan kenaikan mendadak kos dari segi penginapan dan tiket kapal terbang.

Katanya, setiap bakal jemaah diberi tiga pilihan sama ada membatalkan pakej, menangguhkan penerbangan ke bulan-bulan berikutnya atau membayar tambahan pakej sekiranya masih mahu meneruskan perjalanan.

Loading...
Terkini