comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Tipu jemaah umrah, dua pengarah Emraz positif COVID-19, pendakwaan ditangguhkan

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Pendakwaan terhadap syarikat pengendali umrah, Emraz Travel & Tours Sdn Bhd dan dua pengarahnya di Mahkamah Majistret di sini hari ini ditangguhkan berikutan pasangan suami isteri itu positif COVID-19.

Dua pengarah itu, Datuk Dr Zulkarnain Endut, 43, dan isterinya Datin Mazuin Mustafa, 43, berdepan 63 pertuduhan gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, TTPM supaya membayar balik kepada 21 mangsa yang menuntut wang RM589,031.

Dalam prosiding di hadapan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria berkata kedua-dua pengarah itu selaku Orang Kena Saman, OKS dilaporkan dijangkiti Covid-19 dan perkara itu turut disahkan oleh peguam OKS, Datuk Hanif Hassan.

Mahkamah kemudian menetapkan Isnin depan untuk pendakwaan.

Sebelum ini, media melaporkan lesen syarikat Emraz digantung selama enam bulan berkuat kuasa hingga hari ini.

Ia selaras dengan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) di bawah subseksyen 8(1)(d) iaitu menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara.

Media sebelum ini turut melaporkan siasatan polis mendapati syarikat itu menggunakan duit jemaah kumpulan kedua dan ketiga bagi menampung kos jemaah umrah kumpulan pertama.

Tindakan itu dipercayai antara punca berlakunya kegagalan beberapa jemaah yang menggunakan khidmat syarikat itu untuk ke Tanah Suci sehingga membawa beberapa siri laporan polis dalam kalangan mangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata pihaknya menerima 399 laporan berkaitan dakwaan kes penipuan pakej umrah oleh syarikat terbabit dengan jumlah kerugian RM14.2 juta sejak Januari tahun lalu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini