comscore
Tumpuan :
Nasional

TH peruntuk SAR30 juta untuk kos makanan jemaah haji tahun ini

Syed Saleh menunjukkan proses pembungkusan secara automatik pek makanan di satu daripada lapan penyedia makanan. – FOTO: NSTP

MAKKAH: Lembaga Tabung Haji (TH) memperuntukkan sebanyak SAR30 juta bagi kos penyediaan dua juta pek makanan kepada 31,600 jemaah sepanjang musim haji tahun ini, kata Ketua Rombangan Haji Malaysia 1445H/2024, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata biarpun terdapat peningkatan kos bahan mentah ditambah lagi dengan kenaikan harga bahan api menyebabkan berlaku peningkatan kepada kos pengangkutan, namun kos ditanggung oleh TH tetap sama berikutan perjanjian jangka masa panjang yang ditandatangani oleh pihak penyedia makanan.

“Kalau kita lihat kos untuk penyediaan makanan setiap tahun meningkat sebab harga bahan-bahan mentah naik dan jika kita teliti, bahan mentah yang digunakan, ada yang diimport dari luar negara (luar dari Arab Saudi).”

“Selain itu kos penghantaran turut meningkat termasuk percukaian dan pihak kerajaan (Arab Saudi) berkuasa untuk menentukan ada proses-proses dan kemudahan tertentu perlu ditambah baik untuk meningkatkan standard (penyediaan makanan), menyebabkan pihak katering juga perlu mematuhinya, dan ini semua melibatkan kos.”

“Hal ini menjadi satu perkara yang mencabar untuk TH bagaimana hendak menangani kenaikan kos dan dalam masa sama menyediakan perkhidmatan terbaik untuk jemaah haji,” katanya kepada petugas media selepas mengadakan lawatan di tiga buah dapur penyediaan makanan untuk jemaah haji Malaysia di sekitar Makkah hari ini.

Syed Saleh berkata TH telah menyaring dan meneliti sebelum memilih lapan syarikat katering tempatan yang mempunyai lesen dan sijil diiktiraf oleh kerajaan Arab Saudi bagi menyediakan makanan berkhasiat serta bersih untuk jemaah haji.

Lapan syarikat penyedia makanan itu terdiri daripada enam di Makkah iaitu Al Wafa Catering, Al Salmi Catering, Nakha Alia Catering, Mohsen Mohd Al Amoudi Catering (Retaj Restaurant), Fawzy Abo Rozeyza (Makkah Kitchen) dan Tadco Catering.

Dua lagi syarikat adalah di Madinah iaitu Edarah Company For Hotel Management & Operation dan Ahmed Mohamed Zuhdi Company for Management & Operation of Tourist Accommodation.

Keutamaan kontrak katanya, diberikan kepada syarikat penyedia makanan yang memenuhi piawaian antarabangsa dalam soal pengurusan keselamatan iaitu Hazard Analysis and Critical Control (HACCP) iaitu amalan terbaik dalam industri penyediaan makanan.

“Sebelum beroperasi mereka juga melalui proses saringan penilaian ketat oleh kerajaan Arab Saudi yang memerlukan mereka memohon menerusi pejabat Gabenor Makkah dan Bandaraya Makkah, Jabatan Alam Sekitar, pejabat penguat kuasa selain perlu mendapat sijil kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Arab Saudi, ” katanya.

Syed Salleh berkata pada masa sama, untuk memastikan kualiti makanan berada di tahap terbaik, TH menerusi Unit Katering dari TH Travel bersama Unit Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan (KKM) turut melakukan pemeriksaan terhadap dapur yang digunakan.

Ia termasuk pemeriksaan fizikal tempat digunakan seperti tempat penyimpanan barang, tempat untuk memotong bahan mentah dan tempat penyediaan makanan untuk memastikan tahap kebersihannya selain memeriksa sistem perparitan, sistem pengurusan sisa serta peralatan digunakan.

Sementara itu, Syed Salleh berkata sebanyak 3.2 tan beras digunakan untuk menyediakan hidangan tengah hari dan makan malam kepada jemaah haji setiap hari beserta lima tan protein dan 2.5 tan sayur.

Dari segi variasi menu makanan pula, TH menetapkan syarikat katering terlibat menyediakan 42 jenis menu berbeza sepanjang musim haji kali ini untuk makan tengah hari dan malam bagi jemaah haji muasasah.

Makanan disediakan kemudian dihantar ke tempat penginapan jemaah haji dalam kotak pemanas dengan menggunakan kenderaan yang dibenarkan oleh pihak berkuasa iaitu mempunyai sistem pengesanan global. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini