comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada Keperluan Tubuh RCI Siasat Banjir Di Baling

KOTA BHARU: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menyifatkan tiada keperluan untuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan berlaku percanggahan punca kejadian banjir puing di Kupang, Baling pada 4 Julai lalu.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata ia berikutan tidak timbul isu percanggahan berhubung hasil kajian yang dibuat jawatankuasa khas yang ditubuhkan itu seperti didakwa.

“Saya tidak nampak berlaku percanggahan kerana yang menguruskan jawatankuasa khas ini bukan pegawai kerajaan, sebaliknya pakar terkenal, termasuk Datuk Dr Ibrahim Komoo (pakar geobencana).

“Jadi, saya rasa hasil kajian itu tidak boleh dipertikaikan. Kalau kata nak melengkapkan lagi hasil siasatan, mungkin boleh. Justeru, untuk penubuhan RCI, saya berasakan ia tidak perlu memandangkan RCI adalah perkara besar,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sultan Ismail, di sini, hari ini.

KeTSA pada 5 Ogos lalu, melaporkan banjir puing yang berlaku di 12 kampung di daerah Baling, awal bulan lalu sehingga meragut tiga nyawa disebabkan oleh fenomena proses geologi berangkai iaitu kejadian tanah runtuh serentak secara meluas di cerun perbukitan granit terluluhawa.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Rosli Isa, dilaporkan berkata, perkara itu adalah berdasarkan laporan Pasukan Khas Siasatan Bencana Tragedi Baling.

Siasatan yang dilakukan oleh pasukan berkenaan turut mengesan ratusan tanah runtuh kecil yang sudah berlaku sejak lebih 15 tahun lalu.

Dalam kejadian banjir puing 4 Julai lalu, kira-kira 800 penduduk sekitar Kupang terjejas, selain turut mengorbankan tiga nyawa, termasuk wanita hamil empat bulan dan mengakibatkan 17 rumah ranap sepenuhnya serta ratusan kediaman rosak teruk. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini