comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada kesan dera pada 4 beradik ditinggalkan di pondok pengawal 

IPOH: Empat beradik berusia antara 10 bulan hingga 11 tahun yang ditinggalkan di pondok pengawal, di Kompleks Pentadbiran Perak Tengah di Kampung Gajah, Khamis lalu, bukan mangsa dera.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Perak, Datuk Salbiah Mohamed, berkata ia berdasarkan laporan kesihatan oleh pakar perubatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh selepas memeriksa empat beradik  itu.

Beliau berkata, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mendapatkan perintah mahkamah supaya kanak-kanak itu boleh ditempatkan di Rumah Perlindungan Kanak-Kanak seliaan jabatan berkenaan.

“Berdasarkan laporan kesihatan, tiada sebarang kesan dera dan keempat-empat beradik ini masih berada di hospital bagi pemantauan lanjut. JKM sedang mendapatkan perintah mahkamah supaya kanak-kanak ini boleh ditempatkan di Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Sultan Abdul Aziz di Kuala Kangsar.

“JKM juga mengesahkan tiada ahli keluarga tampil setakat ini, termasuk yang mendakwa sebagai nenek mereka seperti dilaporkan media sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 peringkat negeri,  hari ini.

Empat beradik malang itu ditemukan di kompleks berkenaan, kira-kira jam 10.50 pagi Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah, dilapor berkata semua mangsa ditinggalkan di hadapan pondok pengawal keselamatan kompleks berkenaan oleh seorang perempuan tidak dikenali yang menaiki kereta jenis Toyota.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini