comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada lagi titik panas dadah di Johor menjelang 2026

EXCO Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon bersama agensi berkaitan dalam siri kempen antidadah di Muar. – FOT: NSTP

MUAR: Kerajaan Johor menyasarkan untuk ‘menghijaukan’ 17 lokasi titik panas dadah yang dikenal pasti di negeri ini menjelang 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon, berkata 17 titik panas di Johor itu adalah sebahagian daripada 155 titik panas dadah dikenal pasti di seluruh negara.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, Johor berjaya menghijaukan tiga kawasan titik panas pada 2022 dan tahun ini, pihaknya menyasarkan kepada lima lagi kawasan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“AADK melalui penguat kuasa menjalankan operasi memusnahkan tempat penjualan, memperkasa komuniti serta pendidikan bagi mencapai sasaran itu.

“Justeru, kami akan menjelajah seluruh daerah dengan stesen pertama ialah di Pontian diikuti Muar dan selepas ini Batu Pahat,” katanya.

Dalam pada itu, Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Yong Peng menafikan Johor berhadapan isu penyalahgunaan dadah yang teruk.

Katanya, laporan mendedahkan 14,317 individu ditahan disebabkan penyalahgunaan dadah dan merupakan bilangan tertinggi di negara ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, jika dibandingkan dengan kadar populasi, iaitu orang ditahan dibahagikan jumlah penduduk di negeri ini, Johor berada di tangga ke-10.

“Ia tidaklah seteruk yang diceritakan, namun begitu kami masih terus berusaha memastikan isu penyalahgunaan dadah ditangani dan berusaha untuk membanterasnya,” katanya.

Loading...
Terkini