comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tiada unsur jenayah kejadian dua beranak rentung – Polis

 

GERIK: Tiada unsur jenayah dalam kes kebakaran sebuah pondok di kawasan dusun Kampung Air Tarung, Jalan Air Ganda, di sini, yang mengorbankan dua beranak pagi tadi.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, namun punca kebakaran masih belum diketahui.

Foto hiasan

“Siasatan yang dijalankan polis mendapati tiada apa-apa unsur jenayah. Punca kebakaran masih belum diketahui dan masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zulkifli, hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian dua beranak berkenaan adalah disebabkan oleh kecederaan akibat kebakaran (death of burn) dengan pemeriksaan lanjut ke atas tubuh mayat tidak menjumpai apa-apa kecederaan lain mahupun sebarang unsur jenayah.

Katanya, maklumat awal kejadian itu diterima daripada orang awam melalui pusat kawalan (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik sekitar jam 7 pagi tadi, dengan kebakaran itu berjaya dipadamkan oleh penduduk kampung itu

Zulkifli berkata, laporan kejadian turut diterima daripada seorang lelaki berumur 37 tahun jam 8.16 pagi tadi yang merupakan anak serta adik kepada dua mangsa rentung berkenaan dengan salah seorang mangsa iaitu yang berumur 43 tahun adalah orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian terletak jauh daripada jalan utama dan merupakan laluan ‘offroad’ atau laluan jalan tanah merah untuk ke kawasan kebun dusun itu.

Beliau berkata, pondok yang terbakar itu berukuran kira-kira 55.7 meter persegi diperbuat sepenuhnya daripada kayu.

Saksi utama kejadian memaklumkan kebakaran disedari berlaku jam 4 pagi di bahagian dapur pondok dan dia turut berusaha sedaya menyelamatkan isteri dan anaknya.

“Namun, saksi tidak berupaya melakukan demikian lantas segera meminta bantuan dari penduduk berhampiran. Setelah tiba bersama bantuan, pondok itu bagaimanapun sudah hangus terbakar.

“Saksi juga mengakui pondok itu dibinanya sendiri bagi tujuan menjaga kebun (dusun), dan pondok itu juga dilengkapi dengan lampu solar dan kelengkapan untuk memasak yang lengkap,” katanya.

Menurut Zulkifli lagi, kes disiasat sebagai kematian mengejut (SDR).

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini