comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiba masa kerajaan lihat kemampanan DNB sebagai entiti perniagaan – Johari Ghani

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya untuk kerajaan melihat kepada kemampanan pengendali rangkaian 5G iaitu Digital Nasional Bhd (DNB) sebagai entiti perniagaan, menurut Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, ia mengambil kira kerajaan sudah memberi jaminan kepada pinjaman yang dibuat DNB, yang difahamkan mencecah hampir berbilion ringgit.

“Dalam keadaan tidak menentu ini, dengan kadar penembusan 5G yang terlalu rendah iaitu 7.4 peratus, kemudian komitmen kewangan yang begitu tinggi oleh kerajaan, adakah perlu untuk membuka perkhidmatan 5G kepada syarikat kedua sedangkan yang kita ada masa ini, saya rasa mengambil masa begitu lama untuk menjadi entiti yang mampan,” katanya.

Beliau mengemukakan soalan itu pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata kerajaan melihat kepada banyak negara, termasuk Korea Selatan, yang mana kadar penembusan 5G sudah mencecah lebih 95 peratus, manakala dalam kalangan pengguna runcit masih rendah, iaitu tidak lebih 50 peratus.

“Bagaimanapun, fokus 5G adalah perusahaan dan pada Khamis lalu, rangkaian tempatan persendirian 5G pertama dilancarkan di Malaysia, yang akan digunakan PETRONAS.

“Ini adalah satu perkara paling penting kerana kemampuan 5G akan dapat dimaksimumkan oleh syarikat perusahaan dan inilah yang menjadi pengimbangan kepada kemampanan itu,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi juga menjelaskan, perkhidmatan rangkaian 5G telah mencapai 70.2 peratus liputan di kawasan berpenduduk, setakat 30 September lalu.

Sebanyak 5,873 tapak 5G juga sudah siap dibangunkan sehingga tempoh itu.

Katanya, pelaksanaan rangkaian 5G giat dilakukan DNB yang menyasarkan 7,509 tapak 5G di seluruh negara dengan 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

Loading...
Terkini