comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Lima syarikat muktamad pegang 70 peratus saham DNB

Menteri Komunikasi & Digital, Fahmi Fadzil. – Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Lima pengendali rangkaian mudah alih (MNO) memeterai perjanjian langganan saham (SSA) bagi memegang kepentingan dalam Digital Nasional Bhd (DNB), sekali gus mengukuhkan lagi infrastruktur 5G di Malaysia.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata lima MNO itu adalah CelcomDigi Bhd (CelcomDigi) menerusi Infranation Sdn Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd (Maxis), U Mobile Sdn Bhd (U Mobile), Telekom Malaysia Bhd (TM) dan YTL Power International Bhd (YTL).

Beliau berkata, melalui pemeteraian SSA itu, tertakluk kepada penilaian wajar akan membolehkan lima MNO itu memiliki 70 peratus pegangan saham dalam DNB secara kolektif atau 14 peratus pegangan saham secara individu.

Kerajaan pula, katanya melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) akan memiliki 30 peratus baki pegangan ekuiti dalam DNB dan pegangan Saham Khas.

“Setiap MNO yang memeterai perjanjian juga akan menyuntik sebanyak RM233 juta ke dalam DNB, yang akan digunakan untuk memenuhi keperluan pembiayaan pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia.

“SSA ini adalah pencapaian penting yang dicapai oleh Pasukan Petugas Pelaksanaan Dwirangkaian 5G Malaysia yang dianggotai oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi dan Digital, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), DNB serta MNO,” katanya selepas majlis perjanjian SSA di Kuala Lumpur, semalam.

Pasukan Petugas Pelaksanaan Dwirangkaian 5G Malaysia ditubuhkan pada 9 Mei 2023 dengan objektif utama untuk memastikan kelancaran peralihan daripada model Rangkaian Borong Tunggal (SWN) kepada model Dwirangkaian.

Sehingga akhir Oktober 2023, langganan perkhidmatan 5G di Malaysia adalah berjumlah 3.6 juta dengan kadar penerimagunaan pada tahap 10.8 peratus.

Bagi meningkatkan kadar penerimagunaan 5G dalam kalangan pengguna, kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi telah memperkenalkan Pakej 5G Rahmah bermula Ogos 2023.

Loading...
Terkini