comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

5 syarikat telekomunikasi setuju pegang saham dalam DNB – Fahmi

KUALA LUMPUR: Pasukan Petugas Pelaksanaan Dwirangkaian 5G Malaysia berjaya mencapai persetujuan, berkaitan penyertaan ekuiti dalam Digital Nasional Berhad (DNB) dan perjanjian akses 5G bersama DNB.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U-Mobile dan YTL Communications, akan memuktamadkan proses pemegangan saham dalam DNB.

“Seterusnya, menyokong pembangunan rangkaian 5G oleh DNB sehingga mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang penghujung 2023, sebelum beralih kepada model dwirangkaian seawal Januari 2024.

“Pihak syarikat penyedia perkhidmatan akan mengambil semua tindakan tatakelola sewajarnya, bagi menyempurnakan proses ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pasukan Petugas Pelaksanaan Dwirangkaian 5G Malaysia berkenaan, dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Fahmi berkata setakat 30 Jun lepas, DNB telah membangunkan infrastruktur rangkaian 5G meliputi 64.7 peratus liputan di kawasan berpenduduk dan berada di landasan tepat bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Beliau berkata seperti mana komitmen yang diberikan sebelum ini, pihak Maxis telah memulakan proses untuk menandatangani perjanjian akses 5G bersama DNB, setelah beberapa isu berkaitan perkara tersebut dimuktamadkan pada 11 Julai lepas.

“Pelanggan Maxis akan mula menikmati perkhidmatan 5G, setelah Maxis mendapat kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bulan hadapan.

“CelcomDigi, Telekom Malaysia, U-Mobile dan YTL Communications telah pun menawarkan perkhidmatan 5G, selepas menandatangani perjanjian akses 5G bersama DNB sejak tahun lalu,” katanya.

Fahmi berkata KKD dengan kerjasama semua pihak, sentiasa memastikan aspirasi kerajaan direalisasi melalui proses yang inklusif, telus dan terangkum, demi menjamin kualiti perkhidmatan yang terbaik untuk masyarakat Malaysia MADANI.

BERNAMA

Loading...
Terkini