comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiga nelayan cemas, bot karam

 

Maritim Malaysia Labuan berjaya menyelamatkan tiga nelayan selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Tanjung Kubong, Labuan. – FOTO: Ihsan Maritim Malaysia.

LABUAN: Cuaca buruk menjadi punca tiga nelayan berdepan detik cemas selepas bot dinaiki mereka karam akibat bocor di perairan Tanjung Kubong, di sini, semalam.

Bagaimanapun, tiga nelayan berkenaan yang berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun bernasib baik apabila diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Labuan dan nelayan tempatan.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Labuan Nudin Jusoh, berkata sejurus Pusat Operasi Zon Maritim Labuan menerima laporan berkaitan kejadian berkenaan, dua aset Maritim Malaysia diatur gerakan ke lokasi.

“Dua aset Maritim Malaysia iaitu Kapal Maritim (KM) Lahad Datu dan bot ronda yang sedang dalam rondaan Op Sejahtera diatur gerak ke lokasi untuk memberi bantuan kecemasan.

“Semua mangsa berjaya diselamatkan oleh aset Maritim Malaysia dan tiga bot nelayan tempatan yang berada berdekatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua mangsa dibawa ke Jeti Zon Maritim Labuan untuk rawatan dan tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Nudin Berkata pihaknya mengingatkan orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut ke talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999. — BERITA HARIAN

Loading...
Terkini