comscore
Tumpuan :
Nasional

Tikam, kelar leher rakan, tuntut hutang RM30

Foto hiasan

PETALING JAYA: Gara-gara dadah, seorang lelaki tergamak menikam rakannya ketika datang ke rumah mangsa di Sungai Way untuk menuntut hutang RM30 kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, kejadian berlaku pada jam 12.15 tengah malam kelmarin apabila suspek, 20-an datang ke rumah mangsa, 20-an untuk menuntut hutang.

Menurutnya, bagaimanapun berlaku pergelutan semasa kejadian itu di mana suspek mengeluarkan pisau dan menikam dada kiri serta mengelar leher mangsa.

“Mangsa menjerit kesakitan dan lari masuk ke dalam rumah meminta bantuan rakan serumah.

“Kejadian berlaku apabila suspek tidak berpuas hati mangsa enggan membayar baki hutang RM30 menyebabkan dia marah dan ketika itu berada di bawah pengaruh dadah terus bertindak di luar kawalan menikam dada beberapa kali dan kelar leher mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Shahrulnizam berkata, susulan itu, polis menahan suspek pada jam 1 pagi kelmarin di rumahnya yang selang beberapa rumah dengan mangsa.

“Mangsa dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan dalam keadaan stabil di mana luka kecederaan juga sudah dijahit.

“Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah syabu dan dia direman sehingga 12 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini