comscore
Tumpuan :
Nasional

Tingkat penguatkuasaan, pemantauan harga barang dan bekalan – PM

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu penguatkuasaan dan pemantauan ditingkatkan susulan laporan kenaikan harga makanan selain keberadaan bekalan di pasaran.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, meskipun kadar inflasi menurun, namun ia tidak mencerminkan situasi semasa.

“Walaupun saya tidak nafikan di lapangan kadang harga tinggi, saya lihat ada rakan komen pada saya, harga beras turun, harga gula terkawal, harga ayam turun ketimbang dua atau tiga tahun (lalu) tapi harga makanan naik.

“Jadi ini mungkin penguatkuasaan dan pemantauan menuntut kita melakukan tinjauan dan perubahan,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Kementerian Kewangan (MoF), di sini hari ini.

Kadar inflasi atau peratusan harga barangan direkodkan turun kepada 1.6 peratus untuk suku keempat tahun lalu daripada 2.0 peratus pada suku sebelumnya.

Selain itu, Anwar mahu bekalan beras putih tempatan (BPT) yang dijual pada harga RM26 bagi setiap kampit 10 kilogram (kg) ada di pasaran khususnya di kawasan miskin bandar dan pedalaman bagi membantu golongan berkenaan.

Ujarnya, walaupun mengikut laporan mengatakan terdapat bekalan tersebut di pasaran, namun hasil pertemuan beliau dengan rakyat memaklumkan sebaliknya.

“Bila kita tegaskan dalam mesyuarat (Majlis Tindakan Sara Hidup Negara – NACCOL), kita tahu pengeluaran ia (beras) dan keputusan kerajaan bahawa semua keperluan tentera, polis, sekolah asrama dan mana-mana kontrak kerajaan sekarang, beli beras import supaya beras murah tempatan masih dalam edaran.

“Bila kita tekankan itu, ada 150,000 metrik tan beras tempatan boleh diedar, tak cukup untuk semua tapi kalau kita tumpu di kawasan miskin bandar, kampung, pedalaman melalui FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) dan LPP (Lembaga Pertubuhan Peladang), sekurangnya sebahagian besar atau majoriti rakyat berpendapatan rendah mesti guna beras tempatan,” katanya.

Pada masa sama, beliau melahirkan rasa hairan mengapa harga beras putih import (BPI) boleh diturunkan ketika ini berbanding sebelumnya.

“Dua hari lalu saya pengerusikan mesyuarat NACCOL tapi kita tumpu soal beras. Aneh tak bila kita, Perdana Menteri dah ‘naik angin’ sikit, BERNAS (Padiberas Nasional Berhad) kata boleh turun RM2, pengilang kata boleh turun RM1. Tahun sudah atau dua tahun sudah, (mengapa) tidak (turun harga). (Kita) umum (kurang) RM2 hingga RM3, itu banyak untuk pembeli dan pengguna biasa,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan memaklumkan, harga jualan runcit BPI diturunkan antara RM2 hingga RM3 bagi setiap kampit 10kg berkuat kuasa 20 Mac.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar menekankan, risiko penyeludupan barangan bersubsidi akan bertambah kerana harga gula, beras dan minyak masak yang dijual di negara ini adalah paling murah di Asia Tenggara.

“Kita buat laporan dalam mesyuarat keselamatan, Pulau Sebatik (mempunyai) satu pertiga rakyat Malaysia dan dua pertiga rakyat Indonesia, tapi keperluan minyak mentah, beras, gula, semua untuk satu pulau. Jadi kita subsidi dua pertiga daripada penduduk Pulau Sebatik.

“Sebab itu saya kata, penyasaran subsidi penting dan beberapa program dan prakarsa baharu, kaedah percukaian baharu seperti SST (cukai jualan dan perkhidmatan) itu perlu kerana ia tidak menekan (golongan) yang di bawah dan ia beri keadilan supaya golongan maha kaya dan golongan bukan rakyat (Malaysia) tidak mengambil faedah daripada subisidi. Mudah-mudahan kita berhasil benda itu,” katanya.

Mulai 1 Mac lalu, SST naik kepada 8 peratus berbanding 6 peratus sebelum ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini