comscore
Tumpuan :
Nasional

TLDM sasar selesai dokumentasi perolehan 3 LMS Kumpulan 2, sebelum pertengahan tahun ini

 

FOTO: Tentera Laut Diraja Malaysia/ Facebook

KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mensasarkan untuk menyelesaikan semua keperluan dokumen kontrak berkenaan perolehan tiga kapal misi pesisir (LMS) Kumpulan 2 berkeupayaan kombatan sebelum pertengahan tahun ini.

Ia dimaklumkan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob ketika berkongsi perkembangan terkini perolehan LMS itu bersama warga TLDM melalui Perutusan Tahun Baharu 2024 di Wisma Pertahanan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MOF) telah meluluskan permohonan perolehan tiga LMS Kumpulan 2 yang berkeupayaan kombatan untuk TLDM.

“Sebaik Surat Niat (LOI) dikeluarkan, rundingan Teknikal Spesifikasi dan Klausa Kontrak akan diadakan antara TLDM dengan firma terpilih.

“TLDM mensasarkan untuk menyelesaikan semua keperluan dokumen kontrak berkenaan sebelum pertengahan tahun ini,” katanya.

TLDM sebelum ini dilapor mensasarkan menerima LMS Kumpulan 2 yang pertama pada 2027, disusuli LMS kedua dan ketiga dalam tempoh enam hingga sembilan bulan selepas penerimaan kapal pertama itu.

Dalam pada itu, Tan Sri Abdul Rahman Ayob melalui amanat selepas setahun memegang jawatan Panglima Tentera Laut ke-18 sejak 27 Januari 2023 mengingatkan seluruh warga TLDM supaya sentiasa mematuhi segala prosedur arahan standard (SOP) dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

“TLDM tidak akan berkompromi dalam usaha memerangi salah laku seperti gejala buli, rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang pastinya akan mencemarkan imej TLDM,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini