comscore
Tumpuan :
Nasional

Tragedi Batang Kali: 15 termasuk 5 mayat kanak-kanak mangsa tanah runtuh sudah dituntut waris

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, pada sidang media operasi mencari dan menyelamat kejadian tanah runtuh di Father Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali. – FOTO: NSTP

HULU SELANGOR: Sebanyak 15 mayat mangsa kejadian tanah runtuh di Jalan Batang Kali- Gohtong di sini sudah dituntut oleh waris masing-masing semalam untuk proses pengebumian.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah, berkata kesemua mayat mangsa diserahkan kepada waris selepas proses pengecaman dan bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Sungai Buloh (HSB).

Katanya, kesemua mayat terdiri daripada dua lelaki dewasa, lapan wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.

“Pada masa ini, masih ada baki sembilan lagi mayat yang masih berada di hospital untuk tujuan bedah siasat dan menunggu proses tuntutan oleh waris.

“Kita memohon kepada waris atau keluarga atau rakan kepada mangsa yang dipercayai terbabit dalam kejadian ini untuk pergi ke HSB bagi membuat pengecaman dan mengenal pasti identiti mayat,” katanya pada sidang media di lokasi, hari ini.

Ini kerana katanya, ada identiti mangsa belum dapat dikenal pasti identiti.

Justeru waris atau keluarga yang ada kehilangan ahli keluarga diminta segera tampil membuat laporan polis.

Tambah beliau, waris juga boleh datang terus ke HSB kerana pihak polis menugaskan satu pasukan khas untuk menguruskan urusan dokumentasi termasuk penyerahan mayat untuk memudahkan urusan waris.

Seramai 94 mangsa terbabit dalam bencana awal pagi Jumaat lalu.

Daripada jumlah itu, 61 orang selamat manakala 24 lagi terbunuh.

Sembilan masih hilang setakat ini.

Mengulas mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR), Suffian berkata operasi SAR semalam yang dihentikan jam 9 malam tadi kerana hujan lebat disambung semula jam 8 pagi tadi.

“Operasi SAR dihentikan jam 9 malam tadi kerana jika diteruskan, ia boleh membahayakan nyawa petugas penyelamat .

“Sebanyak lima komponen pasukan penyelamat kini berada di lokasi membabitkan 112 anggota dan tiga anjing pengesan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya.

Loading...
Terkini