comscore
Tumpuan :
Jenayah

Wanita ini disyaki menaiki teksi untuk mengedar dadah – Polis

HULU SELANGOR: Polis menahan seorang penumpang teksi dipercayai pengedar dadah di tepi jalan kawasan Taman Tempua Bistari, Kalumpang, di sini, kelmarin.

Wanita terbabit ditahan bersama 16.20 gram dadah jenis heroin.

Suspek yang tidak bekerja berusia 36 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor dan Balai Polis Kerling, jam 5 petang.

Difahamkan, suspek menjalankan kegiatan itu selama tiga bulan dan menjadikan dua kawasan iaitu Simpang Empat, Tanjung Malim, Perak dan Hulu Bernam sebagai lokasi pengedaran.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, ketika ditahan, polis menemukan tujuh paket plastik lut sinar heroin di dalam beg sandang digalas suspek.

“Wanita ini disyaki menaiki teksi untuk mengedar dadah di kawasan Hulu Bernam. Bagaimanapun, semakan mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

“Nilai dadah yang dirampas berjumlah RM300. Ia mampu menampung permintaan seramai 100 penagih jika dibungkus semula,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, dadah itu dipercayai akan dijual kepada penagih tempatan di Hulu Bernam.

Jelasnya, suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga 28 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Loading...
Terkini