comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tragedi Batang Kali: JKM sediakan kaunselor tenangkan mangsa 

 

HULU SELANGOR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan seorang kaunselor di Balai Polis Hulu Yam Bharu bagi menenangkan mangsa tanah runtuh perkhemahan berhampiran ladang organik, Father’s Organic Farm, di Gohtong Jaya, awal pagi tadi.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu, berkata ini kerana ada mangsa trauma dan bimbang ahli keluarga lain masih terperangkap dalam runtuhan.

Katanya, JKM akan menambah kaunselor jika mempunyai keperluan berbuat demikian.

FOTO: Dr. Zaliha Mustafa / Facebook

”Kaunselor menenangkan mangsa, bukan untuk menyulitkan keadaan dengan mengimbau tragedi yang berlaku.

“Kita akan berikan mereka ruang. Kalau betul memerlukan bantuan, kita bantu tapi kalau mahu bersendirian kita beri ruang.

“Mangsa di sini termasuk bayi, warga Singapura dan Myanmar yang dilaporkan cedera ringan.

“Kita juga akan terus bantu mangsa yang sakit dan berharap ahli keluarga yang masih hilang segera ditemui,” katanya ketika ditemui di balai polis terbabit.

FOTO: Dr. Zaliha Mustafa / Facebook

Aiman Athirah berkata, JKM akan menyalurkan pelbagai bantuan asas termasuk makanan, minuman dan tikar untuk mangsa terbabit.

Oleh kerana JKM tidak mempunyai akses di zon merah iaitu lokasi kejadian, katanya, petugas akan beroperasi di zon yang dikhususkan untuk bantuan.

FOTO: Dr. Zaliha Mustafa / Facebook

Mengenai pusat pemindahan sementara (PPS), Aiman Athirah berkata Sekolah Kebangsaan (SK) Hulu Yam dikenal pasti sebagai lokasi PPS namun tidak diaktifkan kerana belum mempunyai keperluan.

“Semua mangsa ada di sini, ada yang sudah diambil keluarga manakala yang cedera dihantar ke hospital.

“Sekolah itu dikenal pasti sebagai PPS dan kita bersiap sedia membukanya jika perlu,” katanya.

Antara mangsa terselamat dalam kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm di Batang Kali yang ditempatkan di Balai Polis Ulu Yam Bahru. – FOTO: NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI.
Loading...
Terkini