comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kanak-kanak mangsa cabul warga emas di PPS diberi kaunseling 

KUALA LUMPUR: Dua kanak-kanak perempuan yang disyaki menjadi mangsa cabul lelaki warga emas di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuala Nerus, Terengganu sudah diberikan kaunseling oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kaunselor pihak berkenaan juga mengambil maklum mengenai kejadian itu dan pelakunya juga sudah ditahan pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Kita memang sentiasa ada kaunselor di situ (di PPS banjir) dan tanpa ada kes itu (kaunselor juga) memang memberi kaunseling sebab mereka berhadapan banjir apatah lagi mereka yang ada kes seperti itu (gangguan seksual).”

Memang ada kaunselor (memberi kaunseling kepada mangsa)Pegawai kita peka (dengan kejadian itu) sebab itu tindakan cepat diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Program Eliminate Violence Against Women (EVAW) sempena Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2023 di Dewan Hiliran Ampang di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya komited mempertingkatkan kesedaran mengenai anti gangguan seksual bagi memastikan kejadian sama tidak berulang di semua lokasi.

“Ini menjadi satu peringatan kepada pusat itu supaya lebih peka (dengan isu berkaitan gangguan seksual kerana) kalau tiada kesedaran maka kes itu tidak diketahui,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, polis menahan seorang lelaki warga emas kerana disyaki melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan dipetik berkata, suspek berusia 61 tahun yang juga mangsa banjir di PPS sama ditahan susulan dua laporan polis dibuat oleh keluarga dua kanak-kanak berkenaan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini