comscore
Tumpuan :
Nasional

Tragedi Batang Kali: Operasi SAR diteruskan hingga 4 pagi ini.

Anjing Pengesan bernama Grouse, sedang mengesan mangsa yang tertimbus dalam runtuhan cerun di tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm. – Foto JBPM

HULU SELANGOR: Misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang tertimbus dalam runtuhan cerun di tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm di sini, diteruskan sehingga jam 4 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, misi akan diteruskan seperti dirancang meskipun keadaan cuaca hujan renyai ketika ini.

“Keadaan cuaca hujan tapi kita dah bincang dengan kesemua lima agensi penyelamat utama bagi meneruskan usaha penyelamatan di ketiga-tiga sektor sehingga jam 4 pagi.

“Operasi kemudian akan ditangguhkan selepas itu dan disambung semula pada 9 pagi esok,” katanya dalam sidang media di lokasi di sini, malam ini.

Selain itu, beliau berkata, setakat 9 malam ini tiada sebarang petunjuk atau penemuan baharu dengan penemuan terakhir adalah mangsa ke-24 membabitkan kanak-kanak perempuan berusia lingkungan tujuh hingga lapan tahun.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, misi kekal membabitkan 135 anggota dan pegawai dibantu Unit Anjing Pengesan (K9).

“Ada pertukaran penugasan yang mana penggantian anggota supaya operasi tidak terjejas. Tapi kita (JBPM) akan pastikan anggota baharu yang masuk ke kawasan insiden dalam keadaan bersedia.

“Begitu juga anjing pengesan turut direhatkan sebelum meneruskan operasi semula,” katanya.

Terdahulu, dua mayat wanita dan kanak-kanak ditemui di kawasan Sektor A (Hillview) pada jam 1.05 tengah hari tadi dan satu lagi mayat kanak-kanak perempuan ditemui pada jam 4.05 petang di kawasan berhampiran.

Setakat malam ini, seramai 24 mangsa disahkan terkorban dan sembilan lagi masih hilang manakala 61 berjaya diselamatkan dalam kejadian dilapor membabitkan sejumlah 94 orang.

Loading...
Terkini