Tumpuan :
Nasional

Operasi cari Ustaz Hafiz masuk hari ke-4

FOTO: Ihsan Bomba

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

PETALING JAYA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan seorang guru agama yang dipercayai hilang di Pusat Rekreasi Sedim, sejak Jumaat lalu giat diteruskan pagi tadi.

Ketua Zon 3, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Mohd Rahimi Ali berkata, operasi yang memasuki hari keempat itu digerakkan jam 8.30 pagi tadi.

“Operasi semalam tamat sekitar 7 malam berikutan keadaan cuaca yang baik. Macam hari ni pun mungkin sama juga bergantung kepada keadaan cuaca. Tumpan pencarian difokuskan kembali kepada empat sektor yang telahpun kita lakukan pada hari kedua pencarian sebelum ini”, katanya kepada Buletin TV3.

Sehingga kini pihaknya belum menemui sebarang petunjuk untuk menjejaki guru berkenaan.

FOTO: Ihsan Bomba

Kira-kira 60 anggota SAR membabitkan pasukan bomba, polis, renjer dan penduduk kampung masih berusaha mencari mangsa.

“Dalam kes ini kita tiada saksi yang nampak sama ada mangsa ni ke sungai atau mendaki dan barang-barang peribadi dia memang kita tak jumpa di sepanjang sungai ke atau di mana-mana  tempat pencarian kita lah”.

Terdahulu pihaknya menerima panggilan berhubung kehilangan seorang guru agama, Mohd. Hafiz Jasmi, 38, yang dilaporkan hilang di kawasan peranginan Sungai Sedim, Kulim.

Mohd. Hafiz yang mengajar di sebuah sekolah rendah dikhuatiri hilang sebelum kereta jenis Proton Saga berwarna putih miliknya ditemukan di kawasan peranginan Sungai Sedim yang menjadi petunjuk awal kehilangannya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini