comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tragedi Batang Kali: Polis selesai rakam keterangan pengusaha tapak perkhemahan, 2 pekerja

HULU SELANGOR: Polis sudah merakam keterangan tiga individu termasuk pengusaha tapak perkhemahan Father’s Organic Farm yang menjadi lokasi tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Gohtong, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, berkata lelaki tempatan berusia 50-an itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, petang semalam .

“Dua lagi individu yang dirakam keterangan adalah pekerja di tapak perkhemahan terbabit, terdiri daripada dua lelaki berusia lingkungan 20-an dan 30-an.

“Proses rakam keterangan berlangsung sehingga malam tadi dan kita jangka lebih ramai lagi akan dipanggil untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media di lokasi, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata tumpuan utama Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika ini ialah usaha mencari dan menyelamat (SAR) baki mangsa yang masih hilang.

Untuk peringkat awal, pihak polis akan mengambil keterangan daripada lelaki terbabit.

Acryl Sani berkata, beliau sudah mengarahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, untuk mengetuai siasatan berkaitan kejadian itu.

“Siasatan akan dipantau oleh KJSJ Selangor dengan mengikut segala peruntukan undang-undang yang bersesuaian,” katanya.

Loading...
Terkini