comscore
Tumpuan :
Nasional

Tragedi Batang Kali : Usaha kesan 12 lagi mangsa diteruskan

Ahmad Zahid meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Hulu Selangor: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) 12 lagi mangsa insiden tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, Batang Kali, di sini masih diteruskan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini seramai 21 mangsa bencana itu disahkan meninggal dunia.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat Malaysia terus berdoa agar usaha pencarian berjalan lancar seperti yang dirancang.

“Secara rasmi, seperti dimaklumkan pihak berkuasa keseluruhan mangsa adalah 94 orang.

“Jadi, kerja-kerja SAR mencari 12 mangsa yang belum ditemui sedang dilakukan. Kita berdoa supaya ada yang selamat dalam insiden ini,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, malam ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau dimaklumkan ada dua aliran air bawah tanah di lokasi kejadian.

“Mungkin ini adalah dapatan awal daripada siasatan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Tanah dan Galian.

“Bagi pihak kerajaan, saya ingin meminta di musim cuti sekolah ini, mana-mana tapak perkhemahan sama ada di atas bukit atau di tepi sungai agar dapat mengosongkannya buat sementara waktu.

“Di sungai umpamanya, walaupun kawasan itu selamat sekarang, tetapi mengikut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia, hujan lebat akan bermula esok terutamanya di kawasan Pantai Timur.

“Jadi, dikhuatiri hujan lebat di hulu sungai akan menyebabkan berlaku kepala air. Kiranya akan melanda di kawasan pertengahan atau di kawasan kepala sungai,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, beliau berharap orang ramai terutamanya pengusaha yang menjalankan aktiviti perkhemahan terbuka dapat belajar daripada apa yang berlaku.

Menurutnya, pihak berkuasa seperti polis, bomba dan agensi penguat kuasa sudah dimobilisasikan sepenuhnya yang diketuai polis.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pusat, saya akan terus memantau bersama ketua-ketua agensi di tempat ini dari semasa ke semasa.

“Kita juga akan maklumkan kepada pihak media untuk diketahui khalayak ramai mengenai kejadian ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan bantuan kepada mangsa yang terselamat dan waris mangsa yang meninggal dunia.

Loading...
Terkini