comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tragedi kepala air: Jenazah Aszura selamat dikebumikan

TAPAH: Jenazah Aszura Bani, 37, mangsa pertama kejadian kepala air di Sungai Kenjur, dekat Kampung Poh Bidor selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pekan Bidor, di sini, hari ini.

Terdahulu, Allahyarhamah disolatkan di Masjid Al-Muhtadin Bidor kira-kira jam 11.30 pagi tadi oleh lebih 50 jemaah terdiri daripada ahli keluarga terdekat.

Jenazah kemudiannya dibawa ke kubur dan selesai dikebumikan jam 12.20 tengah hari.

Mayat tiga lagi mangsa yang juga anak Aszura iaitu Hanum Marissa Azam, 2; Hafif Muhayat Azam, 4, dan Hanna Mikayla Azam, 7, masih berada di Unit Forensik Hospital Tapah untuk dibedah siasat dan proses pengurusan jenazah.

Difahamkan, jenazah tiga kanak-kanak itu akan dibawa ke Masjid Al-Muhtadin Bidor selepas Asar hari ini, kemudiannya dikebumikan di sisi pusara ibu mereka di Tanah Perkuburan Islam Pelan Bidor, di sini.

Adik kepada Aszura, Muhammad Faizal Bani, 36, berkata keluarga mereka memang selalu berkelah di kawasan Sungai Kenjur sebelum ini, namun tidak pernah menyangka kawasan terbabit berisiko terjadi kepala air.

“Satu jam sebelum kejadian, saya mesej dia. Tapi dia cuma balas salam dan minta saya tunggu sebentar.

“Tak lama selepas itu, saya terima berita dia ditemukan lemas dan tiga anak buah saya masih hilang.

“Sepatutnya saya merancang berjumpa dengan arwah malam tadi di rumahnya di Kampung Masjid, Jalan Sungkai, Bidor,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Pekan Bidor, di sini, hari ini.

Sementara itu, usaha mendapatkan suami kepada Aszura, Azam Radin Mustapha Amiruddin, 46, masih belum berjaya kerana masih bersedih dengan kehilangan empat insan tersayang sekelip mata.

Muhammad Faizal berkata, Aszura yang bekerja sebagai penjual buah di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah sebelah selatan adalah seorang yang periang dan sangat ringan tulang membantu dalam 13 adik-beradik.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini