comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

Tukang urut teruja wakili negara ke Pertandingan Urut Eropah

Rosmawati Ishak mengendalikan kelas berkaitan spa di akademinya.

JOHOR BAHRU: “Saya mula mengurut dari rumah ke rumah 14 tahun lalu kemudian membuka kedai sebelum menjadi tenaga pengajar, tidak sangka impian saya untuk mewakili negara di pertandingan urutan di peringkat antarabangsa menjadi kenyataan,” kata Rosmawati Ishak, 40, di Bandar Baru Uda di sini.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata dia bersyukur kerana terpilih sebagai peserta tunggal dari negara ini ke Kejuaraan Urut Eropah di Rom, Itali antara 26 hingga 28 Mei ini.

Menurut Rosmawati, dia yakin kejayaannya itu berkat usahanya mengharungi pelbagai ujian dan cabaran sepanjang berkecimpung dalam bidang urutan.

“Ketika pandemik Covid-19, saya terpaksa menutup pusat spa dan berhenti mengajar namun selepas beberapa tahun saya bangkit serta membuka semula spa serta mengajar urutan peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM),” katanya.

Jelas Rosmawati, pengalaman susah senang dalam kehidupan dulu membakar semangatnya untuk berjaya.

Apa tah lagi apabila ada rakannya menganggap bidang urutan tiada masa depan.

“Mereka juga tidak pernah menyokong apa yang saya buat dan anggap ia remeh-temeh,” katanya.

Pengasas D Spa QRose Beauty & Wellness dan QRose Academy itu berkata dia memiliki Diploma Kemahiran Malaysia dalam urutan selain pengalaman mengajar urutan terapi selama lebih 10 tahun.

Rosmawati bergambar kenangan bersama anak didiknya.

Menurut Rosmawati, atas kegigihannya, dia juga pernah menerima anugerah Spa Cemerlang Perubatan Alami pada 2009.

“Sejak menceburi bidang urutan memang impian saya mahu kembangkan urutan tradisional Melayu ke luar negara,” ujarnya.

Tambah Rosmawati, dia mempunyai anak didik hampir di seluruh negara termasuk di Singapura dan Indonesia.

Yang lebih menggembirakannya apabila dia dapat membantu golongan wanita untuk belajar kemahiran urutan serta membantu mereka menambah pendapatan keluarga.

“Ada antara anak didik saya yang menjana pendapatan bulanan sehingga belasan ribu,” jelasnya.

Menurut Rosmawati lagi, setiap tukang urut perlu memiliki ilmu serta teknik berkenaan urutan dan anatomi tubuh manusia.

Rosmawati Ishak bersama suami, Mohd Khairul Azhar Zainal menunjukkan anugerah yang pernah dimenanginya.

Rosmawati berkata dia yang menjalankan perniagaan bersama suami, Mohd Khairul Azhar Zainal, 34, yang juga Pengurus DSpa QRose teruja kerana dapat membawa produk tempatan ke peringkat antarabangsa.

“Sudah lama saya berusaha bagi menyertai pertandingan ini namun hanya mendapat peluang pada tahun ini. Saya berharap dapat mengharumkan nama negara serta memperkenalkan urutan negara ini di persada antarabangsa,” katanya.

Pertandingan dijangka disertai seramai 175 peserta dari seluruh dunia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini