comscore
Tumpuan :
Nasional

Ubat pelangsingan, ramai tahu kesannya, masih berdegil ambil risiko – Pakar kesihatan

Foto hiasan

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

PETALING JAYA: Ubat dan rawatan pelangsingan yang tumbuh ‘seperti cendawan selepas hujan’ di platform media baharu, dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan orang ramai dengan tawaran pelangsingan lebih cepat dan tiada sebarang kesan sampingan.

Meskipun sedia maklum kesannya kepada tubuh badan, namun masih ramai yang ‘percaya’ dan mengambil jalan singkat ini tanpa memikirkan kemudaratannya.

Penasihat Pertubuhan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, mereka gemar mengambil risiko ini untuk memenuhi kemahuan memiliki tubuh yang langsing dan anggun.

Ujarnya ketika dihubungi BuletinTV3, racun berjadual jenis Liraglutide yang terkandung dalam bahan kosmetik ini juga wujud dalam ubat kuat atau ubat perangsang seks.

“Sebenarnya kebanyakan daripada produk tersebut sebagaimana yang kita selalu baca dan dengar daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ada juga yang mengandungi bahan terlarang yang telah dilaporkan oleh pihak kesihatan sebagai produk terlarang,” katanya.

Beliau juga berpendapat, terdapat pelbagai jenis ubat yang berada dalam pasaran negara mempunyai kandungan racun berjadual yang sama dengan produk kosmetik, iaitu raksa atau merkuri.

Justeru, beliau berkata KKM seharusnya mengambil tindakan yang tegas terhadap penjual dan pengedar bahan ini segera.

“KKM perlu menjalankan pengawasan, rampasan dan penguatkuasaan kepada penjual, pengedar dan pembuat produk berkenaan.

“Selain itu, meningkatkan kesedaran kepada orang ramai supaya tidak menggunakan produk yang dilarang kerana masih banyak produk berdaftar lain boleh digunakan, “ujarnya.

Zainal berkata, orang ramai harus mendapat nasihat atau rujukan pihak profesional seperti pakar perubatan, farmasi dan sebagainya bagi mengelakkan penggunaan bahan terlarang ini berleluasa.

Terdahulu Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) bertindak merampas produk ubat disyaki mengandungi racun berjadual Liraglutide untuk rawatan pelangsingan badan dan dipercayai tidak berdaftar dengan KKM.

Pihaknya bertindak merampas tujuh kotak produk ubat yang gagal mempamerkan nombor pendaftaran dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, KKM (PBKD KKM) dan dianggarkan bernilai RM8,000 di beberapa premis di Selangor.

Loading...
Terkini