comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

UMPSA diiktiraf ke-146 terbaik di dunia, nombor 1 MTUN

Kampus induk Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di Kuantan.

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) diiktiraf sebagai universiti ke-146 terbaik dunia di bawah usia 50 tahun oleh Times Higher Education (THE) Young University Rankings 2024.

Dengan pencapaian itu, ia meletakkan UMPSA di kedudukan nombor satu terbaik dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan ketiga terbaik di Malaysia.

Naib Canselor UMPSA, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin berkata universiti itu berteraskan kejuruteraan serta teknologi kini berusia 22 tahun dan indikator yang menjadi kekuatan UMPSA adalah kualiti penyelidikan.

“Universiti memberi tumpuan kepada penyelidikan gunaan dan projek dengan industri setempat bagi memperkayakan pengajaran dan pembelajaran di samping mempromosikan aktiviti pengkomersialan produk penyelidikan.”

“Pencapaian ini membuktikan UMPSA berada di landasan yang tepat selari dengan Pelan Strategik UMPSA 2021-2025 dalam memacu kecemerlangan agar setanding dengan universiti terkemuka di dunia amnya dan di Malaysia khasnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata prestasi cemerlang itu tidak dapat direalisasikan tanpa komitmen utuh warga universiti serta kerjasama strategik yang produktif bersama pihak industri, agensi, sektor awam dan tidak ketinggalan, alumni UMPSA.

Katanya, UMPSA merakamkan penghargaan tahniah buat warga universiti yang sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran penyelidikan.

“UMPSA sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran program akademik melalui jalinan strategik di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurut Yuserrie, ini juga selaras kolaborasi strategik UPMSA bersama industri dan pengantarabangsaan program akademik melalui jalinan strategik di pelbagai peringkat dalam dan luar negara.

Katanya, terkini UMPSA turut menawarkan pelbagai program teknikal berteraskan kejuruteraan dan teknologi serta program pengajian Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) termaju (Advanced TVET).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini