comscore
Tumpuan :
Nasional

Unduk Ngadau Kaamatan diiktiraf sebagai pertandingan kebangsaan

Antara peserta yang layak ke finalis Unduk Ngadau Kaamatan 2024 peringkat kebangsaan. – FOTO: NSTP

KOTA KINABALU: Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) kini diiktiraf sebagai pertandingan kebangsaan, kata Pengerusi Majlis Wanita Pertubuhan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Joanna Kitingan.

Joanna yang juga Pengerusi Penganjur UNK Kebangsaan berkata tanggungjawab itu semakin berat bagi juara UNK tahun ini.

“UNK adalah pertandingan ratu cantik tertua di negara ini. Ia sudah berusia 64 tahun dan masih relevan hingga ke hari ini. Dari permulaan yang sederhana – kampung, daerah dan peringkat negeri, pertandingan ini sekarang diiktiraf di peringkat kebangsaan,” katanya semasa majlis pendaftaran finalis UNK 2024 di sebuah hotel di sini.

Tambah Joanna, beliau tidak menolak kemungkinan pertandingan itu akan memasuki peringkat antarabangsa sesuai dengan kedudukan penduduk Kadazandusun yang terdapat hampir di seluruh dunia.

Joanna menambah bahawa selama ini, UNK menjadi platform penting untuk memperkasakan wanita dan generasi muda untuk lebih berpengetahuan tentang warisan budaya mereka.

Peserta Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) yang mewakili Johor, Romandawi Gapari membuat rujukan dalam kamus bahasa Dusun pada sesi pendaftaran UNK di sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu hari ini. – FOTO: NSTP

Beliau menggesa setiap finalis UNK untuk mempromosikan budaya mereka dengan bangga termasuk pakaian tradisional dan bahasa ibunda.

“Berbanggalah dengan diri anda sebagai wanita Kadazan Dusun Murut (KDM). UNK melangkaui pertandingan ratu cantik; ia membentuk anda menjadi seorang wanita yang bangga dengan budaya anda.”

“Ini bukan tentang nama anda tetapi tentang watak anda, nilai hidup anda. Menghargai diri anda, keluarga anda, komuniti anda dan orang di sekeliling anda adalah penting. Kami sentiasa menekankan prinsip ini, bersama-sama dengan menghargai warisan budaya termasuk pakaian tradisional dan bahasa ibunda.”

Pada tahun ini, 51 peserta dari pelbagai daerah dan mukim di Sabah dan cawangan KDCA di Semenanjung Malaysia layak ke peringkat akhir.

Pemenang UNK peringkat kebangsaan tahun ini akan membawa pulang hadiah bernilai lebih RM100,000 dengan pemenang hadiah pertama akan membawa pulang RM12,000.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini