comscore
Tumpuan :
Nasional

Unit dron Bukit Aman bantu cari bekas komando hilang

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh memberi penerangan berkaitan operasi pencarian bekas komando, Ab Manan Keri, 73. – FOTO: NSTP

KLUANG: Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman akan membantu pencarian bekas komando Grup Gerak Khas (GGK), Ab Manan Keri yang dilaporkan hilang pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata operasi yang memasuki hari kedua hari ini membabitkan 80 pegawai dan anggota pasukan penyelamat termasuk Batalion 5, Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kluang serta sembilan bot.

“Jarak pencarian juga ditambah membabitkan bahagian atas (hulu) dan hilir tempat kejadian dari Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) sejauh kira-kira lapan kilometer, berbanding tiga kilometer semalam.“Kita juga membabitkan anggota unit penyelam skuba bomba dalam operasi ini,” katanya selepas melakukan tinjauan di PKTK di Kampung Palembang, di sini, hari ini.

Abdul Manan, 73, dilaporkan hilang selepas menghadiri majlis jamuan teh bersama rakyat Batu Pahat dan Kluang, di Dataran Tasik pada Khamis lalu.

Ketika kejadian, dia berpakaian lengkap Kelab Veteran Komando dan beret hijau.

Bahrin sebelum ini berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan melalui kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan Persatuan Eng Choon dan mendapati terdapat kelibat seseorang terjatuh ke longkang besar berhampiran Sungai Mengkibol.

Katanya, usaha pencarian juga membabitkan tiga sektor bahagian kiri dan kanan tebing sungai, bahagian dasar dan selaman dari Simpang Sungai Melantai hingga jambatan kedua Jalen Paloh.

“Usaha mencari mangsa bermula pada jam 9 pagi tadi diharap ada perkembangan positif,” katanya.

Sementara itu, anak mangsa, Mohamad Shahfullah Ab Manan, 29, berharap bapanya dapat ditemukan semula.

“Saya meminta semua pihak berdoa ayah dapat ditemukan dalam keadaan selamat dan berterima kasih atas usaha dilancarkan pasukan penyelamat,” katanya. – BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini