comscore
Tumpuan :
Nasional

Usaha bawa pulang rakyat terkandas di Makkah: TH belum terima laporan rasmi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) masih belum menerima sebarang laporan rasmi mengenai beberapa rakyat Malaysia yang terkandas di Makkah selepas didakwa ditipu agensi pelancongan yang berjanji untuk mendapatkan visa mengerjakan haji tahun ini.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pihaknya difahamkan status mangsa yang terkandas masih sama dan mereka belum lagi membuat aduan kepada Lembaga Tabung Haji (TH) bagi meminta bantuan untuk dibawa pulang ke tanah air.

“Setakat laporan yang diterima daripada Ketua Pegawai Eksekutif TH (Syed Hamadah Syed Othman) dan Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman belum ada secara rasmi mereka menghubungi untuk mendapatkan bantuan.”

“Kita harap mereka (yang terkandas) membuat aduan kepada warga TH yang berada di Tanah Suci,” katanya selepas merasmikan Pavilion Al-Falah dan Pelancaran Buku Baharu terbitan agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Pusat Dagangan Dunia, di sini hari ini.

Pada Rabu lepas, media melaporkan terdapat beberapa jemaah haji Malaysia terkandas di Makkah selepas pasport mereka dipegang agensi pelancongan sekali gus tidak boleh pulang ke tanah air.

Anak kepada mangsa terkandas dilaporkan berkata ibu bapanya mengambil pakej haji menggunakan visa pelancong yang diuruskan sebuah agensi pelancongan di Seri Kembangan, Selangor.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata kejadian tersebut melibatkan bidang kuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kerana membabitkan isu pelancongan dan umrah, manakala haji pula di bawah bidang kuasa TH.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia untuk tidak mudah mempercayai sebarang iklan yang dikeluarkan agensi pelancongan yang mendakwa mampu mengeluarkan visa haji.

“Saya sudah tekankan visa haji hanya dikeluarkan oleh TH yang mana merangkumi 31,600 pada tahun ini, selain daripada TH adalah kedutaan Arab Saudi yang disebut sebagi Visa Mujamalah atau Furada. Orang lain (agensi pelancongan) tidak ada kuasa untuk mengeluarkan apa jua bentuk visa haji,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini