comscore
Tumpuan :
Nasional

Vaksin COVID-19: AstraZeneca berjaya batalkan saman 12 individu

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: AstraZeneca Sdn Bhd hari ini berjaya membatalkan saman dikemukakan 12 individu berhubung dakwaan kesan sampingan akibat suntikan vaksin COVID-19 termasuk menyebabkan kematian.

Mereka terdiri daripada 42 plaintif yang memfailkan saman terhadap Kerajaan Malaysia dan Kementerian Kesihatan (KKM) serta empat pihak lain pada November tahun lalu.

Enam daripadanya adalah waris penerima vaksin yang didakwa meninggal dunia selepas menerima suntikan sebagai langkah mengekang penularan pandemik COVID-19 dan selebihnya penerima vaksin termasuk tujuh daripada jenis AstraZeneca.

 

Dalam prosiding hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Dr Suzana Muhamad Said membenarkan permohonan syarikat itu untuk membatalkan saman 12 plaintif yang bukan penerima vaksin jenis berkenaan.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Hemalatha Parasa Ramulu yang mewakili AstraZeneca selaku defendan ketujuh dan peguam, Muhammad Shahrin Satheer yang mewakili plaintif.

Dalam kes saman itu, empat lagi defendan ialah Menteri Kesihatan ketika itu Khairy Jamaluddin, Ketua Pengarah Kesihatan ketika itu, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Pfizer Malaysia (pengeluar vaksin) Sdn Bhd dan Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd (pengeluar vaksin Sinovac).

Mahkamah turut membenarkan permohonan semua defendan untuk mendapatkan dokumen tambahan dan butiran lanjut daripada kesemua plaintif, antaranya maklumat mengenai jenis vaksin yang diterima, pusat vaksinasi yang terbabit, masa dan tarikh vaksin diberikan serta laporan perubatan dan rekod kematian.

Dalam penyataan tuntutan mereka, kesemua plaintif mendakwa KKM memberi satu deklarasi tidak sah dan suatu persetujuan yang dipaksa untuk mengelakkan mereka diambil tindakan berikutan kesan sampingan teruk melalui suntikan vaksin COVID-19.

Sehubungan itu, mereka menuntut defendan bertanggungjawab atas kesan suntikan vaksin COVID-19 yang memberikan kesan sampingan teruk termasuk menyebabkan kematian, kehilangan upaya kekal dan komplikasi lain yang mengakibatkan kerugian.

Selain itu, plaintif menuntut semua vaksin yang digunakan selepas ini perlu menjalani ujian klinikal dan laporan klinikal penuh terhadap keberkesanan suntikan COVID-19 perlu dikeluarkan oleh defendan.

Mereka juga menuntut ganti rugi am dan ganti rugi khas daripada defendan.

Loading...
Terkini