comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

[VIDEO] 700 kereta bertuah terima tembikai percuma di Setiu

Sekumpulan belia Setiu mengagihkan tembikai kepada kira-kira 700 buah kereta yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya dari Kampung Beris Tok Ku menghala ke Pantai Penarik ketika sambutan raya Aidilfitri kedua pada Sabtu lalu. – FOTO: Ihsan Aiman Mohd Yazid.

SETIU: Sekumpulan belia di sini mengagihkan tembikai kepada kira-kira 700 buah kereta yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya dari Kampung Beris Tok Ku menghala ke Pantai Penarik ketika sambutan raya Aidilfitri kedua pada Sabtu lalu.

Muhammad Aiman Mohd Yazid, 32, berkata idea untuk mengedarkan tembikai secara percuma itu dicetuskan oleh sahabat baiknya dikenali sebagai Akim, 25, yang juga pengusaha 10 ekar tanaman tembikai di kawasan berhampiran.

Katanya, mereka seramai enam orang mula mengagihkan tembikai kira-kira jam 2 petang sehingga 7 malam dan berhenti sebelum Maghrib kerana hari semakin gelap.

“Dianggarkan kira-kira 2,000 kilogram tembikai diagihkan dengan setiap keluarga mendapat kira-kira enam hirisan tembikai siap dipotong untuk memudahkan mereka menikmati buah segar itu dalam kereta.”

“Tahun lalu kami juga turut mengagihkan air minuman secara percuma. Kebetulan tahun ini musim tembikai jadinya kami sepakat berkongsi rezeki serta tenaga untuk mengembirakan perantau yang terkandas dalam kesesakan jalan raya.”

Aiman yang juga pemilik Restoran Pak Kancil Patin Tempoyak berkata jika diikutkan jarak antara Kampung Beris Tok Ku ke Pantai Penarik hanya kira-kira 10 minit sahaja.

“Tetapi disebabkan kesesakan jalan raya mengambil masa hingga tiga jam kerana kebanyakan pemandu yang turut menggunakan laluan jalan kampung juga keluar menghala ke laluan utama ini.”

“Kami seronok serta puas hati apabila melihat reaksi muka penerima yang berterima kasih menerima sumbangan buah segar ini.”

“Ada juga yang turut bagi duit raya apabila melihat isteri kawan saya memangku anak ketika kami sibuk agih tembikai.”

Aiman berkata pada waktu-waktu lain, kawannya itu menjual tembikai secara terus kepada pemborong, manakala dia pula menjual secara runcit di gerainya di hadapan Masjid Beris Tok Ku.

Setakat jam 3.45 petang tadi, terdapat 1.9 juta tontonan netizen di laman TikTok Aiman92 melihat video agihan tembikai percuma itu.

Kebanyakan netizen menyambut baik usaha orang Terengganu dalam meraikan golongan perantau yang pulang berhari raya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini