comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Mengamuk, pekerja restoran enggan panggil ‘baby’, ‘abang’

SUBANG JAYA: Hanya kerana pekerja restoran enggan memanggilnya ‘baby’ atau ‘abang’, seorang lelaki mengamuk di sebuah restoran di Putra Heights.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira 9 pagi apabila suspek seorang lelaki tempatan meminta mangsa memanggilnya dengan gelaran ‘abang’ atau ‘baby’.

Menurutnya, tindakan mangsa yang juga seorang lelaki tempatan terus memanggilnya ‘pakcik’ membuatkan suspek berang dan bertindak mengamuk lalu membaling makanan serta minuman panas sehingga terkena seorang kanak-kanak berusia empat tahun.

“Selepas mangsa menyerahkan bungkusan makanan dan minuman yang dipesan, suspek terus bertindak agresif dengan menjerit memaki hamun serta mengugut akan merosakkan harta benda serta membuat kacau.

“Suspek turut membaling bungkusan makanan dan minuman panas ke dalam ruang restoran.

“Pengadu (pemilik restoran) membuat laporan hari ini selepas mendapati video berkenaan tular di media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek juga membaling beberapa kerusi dan menendang meja sebanyak beberapa kali sehingga menyebabkan ketakutan kepada pelanggan yang sedang makan di premis terbabit.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 506 / 352 Kanun Keseksaan.

“Sebarang maklumat atau pernah berjumpa suspek boleh menyalurkannya kepada Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 0378627100 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Dinesh Ganasan, 01133094457.

“Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.

Loading...
Terkini