comscore
Tumpuan :
Nasional

Penghantar makanan ‘mengamuk’ selepas berang ditegur pak guard

AMPANG: Seorang penghantar makanan mengamuk dan bertindak memecahkan pintu bilik kawalan akibat berang ditegur akibat salah laluan di sebuah pangsapuri di Taman Nirwana di sini, semalam.

Lelaki berusia 26 tahun itu dikatakan bertengkar dengan pengawal keselamatan sebelum bertindak demikian kira-kira jam 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, polis menerima laporan kejadian daripada pengurus keselamatan berusia 37 tahun.

“Lelaki itu yang memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) di bilik kawalan melihat berlaku pertengkaran antara pengawal keselamatan warga Nepal dan seorang penunggang motosikal.

“Kejadian berlaku kerana pengawal keselamatan menegur penunggang itu yang memasuki laluan salah sehingga menyebabkan dia marah.

“Lelaki itu juga bertindak memukul pintu bilik kawalan menggunakan besi pengunci motosikal sehingga pecah menyebabkan kerugian RM200,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas laporan, Mohd Azam berkata, polis menahan suspek selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, pada jam 4.30 petang hari sama.

Beliau berkata, polis turut merampas motosikal dan pakaian yang digunakan suspek ketika kejadian.

Katanya, suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga 24 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini